HARI KEDUAPULUH TIGA PUASA

Malam tadi merupakan malam ke-23 puasa. Mengikut pandangan ulamak yang menyatakan bahawa malam Lailatul-Qadar jatuh pada malam2 ganjil sepuluh hari akhir Ramadan, maka berkemungkinan malam tadi juga termasuk di dalam malam ganjil sepuluh terakhir Ramadan. Tetapi seperti yang telah saya tegaskan sebelum ini, kita mungkin hanya perlu meneruskan segala amal ibadat dalam bulan mulia ini tanpa sangat menumpukan kepada ketentuan bilakah malam lailatul-qadar itu sebenarnya.

Dari sudut yang lain, kita akhir2 ini selain dari menghadapi bahang panas disebabkan suhu kepanasan yang menyebabkan cuaca terlalu panas, maka kita juga sedang berada dalam kepanasan dua pingat olimpik yang direbut oleh ahli sukan negara, dan yang paling panas sekali ialah suhu politik yang amat membahangkan suasana seluruh negara pada masa kini. Ketibaan bulan Ramadan nampaknya tidak meredakan juga emosi dan sentimen politik di kalangan ahli politik negara kita, dan hal itu nampaknya akan berterusan sehingga ke Hari Raya dan ke jangka masa selepas Hari Raya.

Ketika kita berada di dalam bulan Ogos, iaitu ketika seluruh negara sedang besiap untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan negara pada 31 Ogos, maka satu perkembangan yang mencatat sejarah nampaknya akan berlaku, iaitu sambutan yang berbeza2 akan berlaku di negeri2 yang dikuasai Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional, sekurang2nya dari segi tema yang akan dipakai di negeri2 yang bekenaan, yang berbeza dari tema sambutan yang telah di tetapkan  di peringkat Persekutuan. Biasanya tema ini digunakan di seluruh negara, tetapi kali ini dua aliran para pemimpin politik kita memilih untuk berbeza mengikut negeri2 masing2, satu perkembangan yang agak mengelirukan orang2 biasa yang tidak berkepentingan dengan politik kepartian, termasuk kanak2 sekolah dan generasi muda umumnya.  

Tetapi hal ini bagi saya hanya merupakan satu pergolakan dalam cawan teh yang tentu jauh sekali dari pergolakan yang berlaku di negara2 Arab umpamanya, hingga mengakibatkan  korban nyawa dan menyebabkan pertumpahan darah yang serius. Bagaimana pun rakyat umum terutamanya yang tidak terlalu percaya kepada pertikaian politik yang melampau tentulah mengharapkan bahawa sebarang perpecahan haruslah dielakkan dari awal, dari sebarang perpecahan yang paling kecil sekali pun seperti yang dipertikaikan oleh ketua2 politik negara kita pada masa ini. Kita haruslah percaya kepada pepatah kita yang mengatakan bahawa api ketika kecil menjadi kawan tetapi bila besar menjadi lawan, oleh itu sebarang api perpecahan walau sekecil mana sekali pun haruslah dielakkan, dipadamkan dari awal lagi.

Satu perkara yang dapat saya hidu dalam perpecahan politik negara kita ialah kehakisan saluran dialog dan perundingan  serta komunikasi di antara ketua2 politik kita. Masing2 nampaknya lebeh suka mengambil jalan konfrontasi dan bertegang leher sesama sendiri, yang sering di salurkan oleh media masing2, terutamanya media internet dan portal politik yang di dokong oleh berbagai pihak.

Dalam pertikaian politik ini pula bangsa kita mulai mengalami kehakisan adab sopan dan tata susila peradaban yang selama ini menjadi warisan kita, terutamanya tata kesopanan dan adab yang kita pelajari dari agama kita sendiri. Komen2 dalam media baru, coretan dalam blog yang tidak bertanggung jawab dan sebagainya penuh dengan kata2 lucah, maki hamun, ungkapan kesat dan tidak beradab, hentam menghentam cara melulu, seolah2 itulah adat dan budaya kita selama ini, pada hal jika dikaji dan diteliti perilaku kita dalam percakapan dan tulisan selama ini, hal2 seperti itu hanya akan dilakukan oleh orang2 yang tidak bersopan dan kurang bepelajaran.

Oleh kerana itu, ketika kita menyambut hari ke-23 Ramadan, ketika kita melihat sedikit dari sudut pertikaian politik partisan yang penuh dengan taksub dan fanatik ini, tanpa terbuka dan mengikut adab kesopanan serta toleransi yang diajar oleh adab dan agama kita, maka kita menjadi umat yang amat dukacita dan muram dengan keadaan ini. Kita menjadi sugul dan kadang2 menyesali diri kita yang terbawa2 dalam kancah pertikaian yang tidak sewajarnya berlaku di dalam masyarakat kita, terutamanya ketika kita semua berpusu2 menuju ke masjid atau surau sebagai umat yang satu, di dalam bulan yang berkat, rahmat dan penuh keampunan dari Allah ini...




Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....