HARI KEDUA PULUH LAPAN PUASA
Insya'Allah hari ini merupakan sehari sebelum hari terakhir puasa Ramadan tahun ini sekirnya kita akan berpuasa hanya 29 hari, dan hari berikutnya iaitu hari Ahad merupakan 1 Syawal 1433 bersamaan 19 Ogos 2012. Semoga Allah SWT memberikan berkat, hidayat dan pemeliharaan-Nya kepada kita semua, insya'Allah.
Alhamdulillah masjid dan surau nampaknya masih ramai juga dikunjungi oleh kaum Muslimin dan Muslimat untuk beribadat, menghidupkan bulan Ramadan yang beerkat ini, dengan mendirikan sembahyang terawih dan bertadarus al-Quran.
Hal ini sekurang2nya berlaku di kota besar seperti KL dan sekitarnya, Petaling Jaya, Subang Jaya, Kelana Jaya, Kajang, Bangi dan yang lain2. Saya tidak tahu keadaannya di masjid dan surau di negeri2 lain. Tetapi di beberapa masjid dan surau sekitar ibu kota ini keadaannya masih meriah. Mungkin disamping membeli belah pada siang hari, memasak untuk berbuka puasa dan menyediakan juadah Hari Raya, juga menyiapkan pakaian baru serta langsir dan perhiasan rumah yang lain, maka umat Islam di negara kita masih dapat menumpukan kepada amal hakiki mereka dalam bulan puasa ini, iaitu menghidupkan malam Ramadan, meningkatkan bacaan dan tadarus al-Quran.
Kita sebenarnya bersyukur kepada Allah SWT kerana terdapat penerusan amalan seperti ini oleh umat kita di negara ini. Istilah "tadarus" tidak terdapat di negara2 Islam Timur Tengah sepanjang yang saya tahu. Mereka membaca Al-Quran atas dasar individu, iaitu masing2 sekiranya mahu membaca maka bacalah mereka, tidak nampak perkumpulan yang membaca dan membetulkan atau menyemak bacaan kawan dan rakan masing2 seperti yang kita lakukan. Hal ini telah menjadi budaya amalan agama yang amat baik bagi kita, orang Melayu, yang agak unik, syukur al-hamdulillah.
Namun begitu dalam menonjolkan para qari kita sebagai imam di masjid di ibu kota dan kawasan sekitarnya, kita agak jauh ketinggalan dari imam2 yang diimpot dari negara2 Arab. Sehingga semalam, iaitu malam yang ke-28 Ramadan, kebanyakan masjid masih berimamkan Arab yang datangnya dari Saudi, Mesir, Palestin dan lain2 lagi.
Makmumnya pun banyak terdiri dari orang luar, pelajar atau yang menetap di negara kita, malah saya bertemu banyak juga orang dari Timur Tengah yang sengaja datang berpuasa di sini, mencintai suasana dan udara puasa di negara kita.
Kalau dalam aktiviti seharian kita, maka kita sering menyaksikan tenaga luar, iaitu di dalam menjaga keselamatan kawasan perumahan, bank, industri dan sebagainya, juga di restoran, hotel, perladangan, binaan, dan kerja2 rumah sebagai pembantu rumah, maka sekarang ini nampaknya dalam aktiviti keagamaan sebagai ketua dan pimpinannya juga, sekurang2nya di kawasan penting negara kita, seperti ibu kota dan bandar2 elit, juga dikuasai oleh orang luar, iaitu dengan kedatangan imam dari luar untuk memimpin umat kita bersembahyang. Sesedar saya di kampung saya dulu hanya tok imam Haji Dolah, atau Haji Mohamad Rejab, dan sekali2 tok imam Haji Hasan itu saja yang bergilir2 menjadi imam terawih. Tetapi sekarang tidak.
Saya tidak mempunyai sebarang perasaan tidak baik, atau prejudis terhadap orang luar, terutamanya imam dari luar, yang kebanyakannya mempunyai suara yang baik, bacaannya yang bermutu, dan mungkin juga ilmunya tinggi, tetapi keperihatinan saya ialah tentang persoalan yang sering kita tanyakan: Di manakah tenaga manusia yang terdiri dari orang2 kita di dalam semua sektor pekerjaan yang saya sebutkan diantaranya di atas, malah di manakah agaknya pakar dan para imam kita dalam mengimamkan jemaah kita di dalam masjid dalam bulan Ramadan ini?
Kalau dalam bidang pembinaan, perladangan, kerja jalan, keselamatan dan sebagainya kita mengatakan bahawa orang dan tenaga manusia kita sendiri tidak tahan berjemur panas, kerinah kerja yang berhabuk dan cemar, tidak cukup kekuatan badan, dan sebagainya, tetapi dalam bidang menjadi imam ini di manakah kekurangannya kita, kerana kita mempunyai ratusan sekolah tahfiz, sekolah agama dan kolej al-Quran, selain dari kelas2 Tajwid dan Tartil, malah sehingga kepada pelajaran "Qiraat" dan sebagainya. Ke manakah perginya produk dan lulusan dari pusat2 pengajian ini, sehingga kita terpaksa mengimpotkan para imam, sama sahaja seperti kita mengimpot para pekerja, pembantu rumah, pekerja binaan dan sebagainya? Apakah institusi pengajian agama dan Al-Quran kita telah menemui kegagalan dalam mengeluarkan imam dan qari kita sendiri? Malah dalam ceramah2 agama di radio dan TV pun nampaknya kita telah mulai mengimpot orang seberang, yang berbicara dalam bahasa seberang, menyampaikan ceramah agama dan menerima soalan agama, apakah dalam hal ini kita juga gagal mengelurakan orang kita sendiri?
Mungkin juga orang akan berhujah bahawa dalam isu imam ini sebenarnya kita perlukan berkat dari mereka kerana mereka orang Arab, terutamanya imam dari Saudi, Makkah dan Madinah, yang bagi saya hal ini tidak tahulah saya hendak menjawabnya, kerana para ulamak sendiri yang seharusnya menjelaskan "fatwa" ini. Apakah benar terdapat keberkatan pada batang tubuh orang yang menjadi imam itu, atau berkat pada peribadi dan pengetahuannya?
Jika kita menoleh sebentar ke belakang sejarah negara kita, maka sejak Tunku Abdul Rahman mengambil inisiatif menganjurkan peraduan membaca Al-Quran puluhan tahun yang lalu, nampaknya pembaca Al-Quran kita sering memenanginya sehingga sekarang, apakah dengan itu kita masih kekurangan para pembaca Al-Quran yang bermutu? Dan selama ini pun mungkin telah ribuan pelajar yang kita keluarkan dari institusi pendidikan kita sendiri, iaitu dari sektor Kerajaan dan swasta, apakah mereka belum bersedia untuk menjadi imam yang dapat membaca dengan baik?
Tidakkah lebeh baik kita memberikan peluang kepada imam2 tempatan ini untuk melatih tubikan diri mereka, para hafiz dan graduan kita sendiri, dalam bulan Ramadan ini, ketika terdapat banyak jemaah pergi ke masjid dan surau, dari pada hanya menggunakan mereka untuk menjadi imam di luar bulan puasa dengan bilangan makmum yang kecil, satu dua saf sembahyang saja, yang tidak mampu memberikan semangat dan dorongan kepada mereka itu? Merka pun mungkin mahu menjadi imam kepada makmum yang penuh tepu dalam masjid, yang ramai seolah2 menjadi imam di dalam masjidul-haram atau yang hampir dengannya? Malah ada diantara imam kita sendiri yang bacaan sembahyangnya salin tak tumpah seperti imam Sudais dan imam2 masjidul-haram yang lain lagi,Tak kanlah mereka itu boleh kita anggap sebagai imam kelas bawahan saja?
Atau kalau hendak mengambil jalan tengah, bolehlah bawa imam luar itu, dengan perbelanjaan Kerajaan atau orang2 korporat yang inginkan pahala dalam bulan Ramadan ini, dan pada waktu siangnya, disebelah petang umpamanya, biarlah para Imam impot itu melatih para imam kita, mendengar bacaan mereka, memberikan "tip"2 yang berharga untuk menjadi imam yang berjaya, first class imam, dan sebagainya, kemudian biarkan mereka menjadi imam beberapa rakaat terawih di bawah seliaan para imam impot itu.
Sekiranya kita telah berjaya mempunyai imam yang cukup dari kalangan pelapis rakyat kita sendiri, maka kita bolehlah berdikari, dan biarkan orang Arab yang datang berpuasa di sini pula yang menjadi makmum kepada imam2 kita itu sendiri.
Selain dari mendapatkan rezeki yang agak lumayan dengan menjadi imam itu, maka mungkin para imam kita itu tidaklah perlu lagi menjadi "duta' itu dan "duta" ini bagi produk kesihatan, kecantikan, tenaga batin, agen pelancongan ke Makkah, dan sebagainya dalam usaha kita mengkormasilkan produk tradisi kita, yang selama ini banyak menggunakan ustaz ustazah kita untuk menerangkan khasiat "habbatul sauda". kismis, tamar, tin dan sebagainya dari sudut agama dan Quran, yang belum tahu kesasihannya lagi, tetapi mereka melakukannya kerana hal ini mendatangkan "fulus" !
Maaf saya, sepatutnya dalam bulan ini saya tak perlu cakap banyak. Tetapi kena cakap juga. Harap Allah ampunkan kalau saya dah banyak berlitir, yang baik itu datangnya dari Allah, dan yang buruk itu datangnya dari saya sendiri....Selamat berpuasa pada hari2 hujung ini.......Wassalam
Comments
Post a Comment