HARI KE-10 PUASA: HIDUP PENUH CUBAAN.....

10 RAMADHAN 1434


Hidup ini adalah penuh dengan cubaan dan cabaran. Sebab itulah ibadat puasa mendidik kita supaya menjadi manusia tabah dan kuat untuk melawan semua cubaan dan cabaran. Melawan hawa nafsu yang dijadikan Allah di dalam jiwa dan hati manusia ini bukanlah satu perkara yang mudah. Ramai manusia yang menyerah kalah kepada nafsu, lalu berlakulah seribu satu perkara yang menentang tamadun dan kesejahteraan masyarakat, malah menentang hukum Allah SWT. 

Al-Quran menjelaskan sebahagian dari tuntutan nafsu, yang diibaratkan oleh Al-Quran sebagai tuntutan syahwat, iaitu nafsu di antara lelaki dan perempuan, harta benda, haiwan peliharaan, emas dan perak dan sebagainya.

"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan dan anak pinak, harta benda yang banyak berpikul-pikul, dari emas dan perak, kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih, dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu adalah kesenangan hidup di dunia, dan (ingatlah) pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga)" Ali-Imran ayat 14.

Nafsu manusia juga mendorong seseorang itu menaruh sangka buruk kepada orang lain, rasa dengki dan khianat, cemburu, sakit hati, fitnah dan kata nista sesama sendiri.

Inilah rahsianya kenapakah ibadat puasa menuntut seorang hamba Allah yang beriman kepada Penciptanya supaya menahan nafsu syahwatnya , makan minum, nafsu kelamin, dosa lidah, mata, dan panca indera lainnya, bisikan jahat hati dan pemikiran, malah keseluruhan tingkah laku buruk yang telah diketahui dari ajaran agama Islam itu sendiri.

Manusia moden pada hari ini terlalu banyak yang menyerah kalah kepada nafsunya, sebab itu telah berlaku segala kerosakan kepada nyawa dan jiwa mereka, pertumpahan darah dan peperangan, kecurian dan rompakan, mencabul kehormatan orang, merosakkan alam sekitar, dan 1001 kejadian buruk yang dulunya tidak banyak sangat berlaku, tetapi sekarang ini telah menjadi satu perkara biasa dalam kehidupan moden ini, iaitu ketika manusia menjadi terlalu bersifat kebendaan atau materialistik, keogaan melampau, individualistik, bebas lepas dari nilai akhlak dan adab sopan, membawa serba macam gejala hedonisme. Orang yang hanya suka hiburan melulu di dalam hidupnya di panggil hedonist dalam bahasa Inggeris, iaitu a person who believes pleasure is the chief good, kehidupan yang hanya bermotif hiburan melulu sahaja.

Termasuk dalam berhibur melampau dan melulu ini ialah hidup yang terhakis dari adab sopan, tanpa akhlak dan etika, menurut bisikan syaitan dalam bermasyarakat dan dalam jalinan hubungan dengan orang lain.  

Dalam surah Maryam ayat 16 hingga 36 Allah SWT menceritakan tentang Maryam iaitu wanita suci, ibu Nabi Isa A.S. yang melahirkan anak (Nabi Isa) tanpa bapa, dan bagaimana pihak musuhnya mencerca Maryam serta menuduhnya melakukan kesalahan kepada Allah. Maryam akhirnya menyerahkan kepada Allah SWT mengenai perkara ini. 

Sebab itulah akhirnya ketika Maryam membawa bayinya dan terserempak dengan orang-orang yang mengumpatnya, maka Allah yang maha kuasa, dengan kehendak-Nya, Nabi Isa yang masih bayi dan berbaring di dalam buiyan, tiba-tiba dapat bertutur kepada orang-orang yang mencerca ibunya itu, "Sesungguhnya aku hamba Allah, diberikan-Nya kitab Injil, diangkat menjadi Nabi, dijadikan-Nya aku berkat di mana saja aku berada,....Kesejahteraan seluruhnya dilimpahkan, pada hari kelahiranku, kematianku, dan pada hari aku dibangkitkan semula...."

Tetapi pertolongan Allah yang langsung seperti itu berlaku kepada umat-umat yang terdahulu, yang ditentang oleh kaum musyrikin dan kafir, maka Allah segera menunjukkan kebenaran yang mutlak pada masa itu, seperti mukjizat Nabi Isa yang boleh berkata-kata ketika masih bayi.

Dalam menghadapi cabaran dan ujian getir dalam dunia moden pada hari ini, kita sendiri amat perlu mempunyai struktur dan sistem pertahanan diri sendiri yang kuat, berilmu dan berhikmah. Oleh itu ibadat puasa dalam bulan Ramadhan ini adalah merupakan satu saluran pendidikan yang tidak formal ke arah membentuk jiwa raga dan hati nurani  manusia sekelian menjadi suci murni....

Kita tetap berdoa dan berharap semoga Allah SWT sentiasa menunjukkan jalan yang lurus kepada kita, dan kita juga perlu berikhtiar, semoga Allah akan membantu kita semua secara langsung dan tidak langsung dalam mengatasi segala cabaran nafsu, syaitan dan iblis....

Namun dalam berharap dan berdoa kepada Allah SWT, maka kita haruslah berusaha dan berikhtiar, bersungguh-sungguh melaksanakan agenda dan strategik tindakan kita, kemudian berdoa dan berserahlah kepada Allah, insya'Allah kita akan ditolong oleh Allah SWT...

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....