RAMADHAN HARI KE-3: PERFECTION DAN INPERFECTION......
3 RAMADHAN 1434
Realiti dan hakikatnya bahawa ibadat puasa adalah tergolong di dalam beberapa kategori yang tertentu, dan hal ini menunjukkan bahawa kita harus menerima kenyataan bahawa segala sesuatu yang ada pada diri kita, atau yang kita lakukan itu, tidak selalunya "perfect" dan sempurna.
Kamus Inggeris memberikan pengertian perfect: 1.complete, entire, 2.faultless, 3.exact iaitu sesuatu yang amat syumul, sempurna, tidak ada cacat celanya, tidak ada kekurangan sama sekali, sama ada dalam tindakan atau perbuatan kita, malah tutur kata, ilmu dan kemahiran kita, cara hidup kita, kerja kita, dan sebagainya.
Memang semua orang seharusnya berusaha untuk menuju kepada matlamat yang sempurna, yang dapat memenuhi krtiteria dan termasuk dalam golongn yang perfect, supaya kita menjadi orang yang perfectionist .
Maka dalam menjalani kehidupan ini, banyak sekali orang yang mengalami sakit jiwa, atau sekurang-kurangnya merasa rendah diri (inferior) yang membawa kepada kompleks rendah diri melampau dan sering menghilangkan keyakinan diri sama sekali, iaitu ketika dia merasakan dirinya "tidak berguna, dan tidak mempunyai nilai sama sekali" jika dibandingkan dengan orang lain, yang dianggapnya amat sempurna, sedangkan kadang-kadang gambarannya ini hanya merupakan persepsinya yang salah sahaja..
Dalam segala bidang kerjaya dan urusan serta pengurusan hidup, kita sering didorong, malah mendorongkan diri kita sendiri ke arah perfection. Oleh itu ramai orang yang tidak dapat menerima hakikatnya bahawa dia sebenarnya tidak mungkin menjadi perfect dalam semua aspek kehidupannya, malah dalam keadaan ini, dia akan bertanya dirinya sendiri: kenapakah aku tidak dapat mencapai matlamat itu, kenapakah aku tidak sebaik dan sesempurna orang itu, kenapakah aku tidak dapat menguasai kemahiran seperti si anu itu?....dan... dan....sebagainya.
Hakikatnya, saya, dan mungkin semua orang dalam dunia ini, masih belum menemui sesiapa pun yang sebenarnya perfect sehingga dia boleh dikatakan seorang yang perfectionist dalam segala aspek kehidupannya sebagi insan ciptaan Allah SWT. Hanya Allah SWT sahaja yang sempurna.
Kesempurnaan yang sebenarnya, termasuk di dalam sesuatu bidang penguasaan kita sendiri, sering tidak dapat kita penuhi seratus peratus, samalah dengan ibadat puasa ini, mungkin puasa kita agak sempurna dalam beberapa kategori yang tertentu, atau di dalam beberapa hari yang terhad sahaja, tetapi ibadat ini mungkin tidak dapat mencapai kategori puasa yang sempurna seperti yang disifatkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadisnya yang termaklum itu, iaitu puasa dalam segala-lanya, bukan hanya puasa dari makan dan minum, seperti yang ditegaskannya "Bahawa ramai orang yang berpuasa, tetapi dia tidak mendapat sesuatu apa pun dari ibadat puasanya, kecuali lapar dan dahaga sahaja."
Namun hal ini, tidaklah seharusnya menghilangkan matlamat kita orang-orang Islam untuk berusaha ke arah kesempurnaan di dalam segala-galanya mengenai kehidupan kita dunia dan akhirat, tetapi fokus sesetengah pendakwah yang hanya menekankan kepada "kesalahan" dan "kekurangan" kita, "dosa" dan "maksiat" kita, malah kehidupan kita ini penuh dengan "dosa dan noda" sahaja, sering mengalihkan fokus kehidupan kita kepada persoalan "What is wrong with me"? "Apakah kesalahan aku ini, di manakah silapnya aku? Kenapa aku menjadi begini? malah mulailah kita membuat perbandingan diri kita dengan orang lain yang kita rasa dia amat sempurna, dan kita tidak mempunyai sebarang kelebihan langsung, maka kita hanya menimbulkan "kesalahan" dan "kekurangan" kita saja, sedangkan sesuatu "yang baik" yang ada pada diri kita menjadi lenyap begitu sahaja, dan kita akan selalu "engage in a losing battle, rather than being content and grateful for what we have..."
Memang kita mahu ibadat puasa yang perfect. Malah kita harus berusaha menunaikan ibadat puasa seperti puasa kelas pertama, dan kita harus mengerahkan seluruh jiwa raga, hati nurani, mental dan pemikiran kita kepada puasa yang ideal ini, namun begitu kita harus juga menyedari bahawa perfection dalam ibadat puasa itu mungkin telah meningkat darjatnya dari hari ke hari, dari tahun ke tahun, dengan berpuasa segala panca indera kita, ibadat membaca al-Quran, sembahyang, fardu dan sunatnya, dan sebagainya yang dapat meningkatkan mutu ibadat puasa kita itu.
Namun satu perkara yang harus kita akui, bahawa dalam kita berjaga-jaga ketika berjalan di lorong-lorong kecil berhutan dan berlubang, tanpa kita sedari, kadang-kadang kita akan terjatuh ke dalam perigi buta atas kelemahan kita sendiri sebagai manusia.
Ingatkanlah diri kita dengan mesra, terutamanya apabila kita menyedari akan kesalahan dan kelemahan kita, bahawa kehidupan kita ini adalah baik pada masa ini, meski pun kita seharusnya menjadi lebih baik lagi pada hari esok dan hari-hari mendatang.
Memang hidup ini amatlah perfect, tetapi manusia sahaja yang tidak perfect. Jangan menjadikan infperfection dalam diri kita sebagai unsur yang membawa kepada kemurungan dalam hidup kita.
Allah SWT berfirman "Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya" Al-Baqarah ayat 286
Namun Rasulullah SAW bersabda bahawa orang mukmin itu apabila melakukan sesuatu kerja maka ia akan melakukannya secara yang amat tekun dan perfect...
Memang hidup ini amatlah perfect, tetapi manusia sahaja yang tidak perfect. Jangan menjadikan infperfection dalam diri kita sebagai unsur yang membawa kepada kemurungan dalam hidup kita.
Allah SWT berfirman "Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya" Al-Baqarah ayat 286
Namun Rasulullah SAW bersabda bahawa orang mukmin itu apabila melakukan sesuatu kerja maka ia akan melakukannya secara yang amat tekun dan perfect...
Comments
Post a Comment