RAMADHAN HARI KE-5: HENTIKAN KERJA MENUDING JARI....


5 RAMADHAN 1434
Puasa mendidik seorang Muslim supaya membuat  penilaian diri melalui ibadat puasa yang dilakukannya setiap hari. Ketika masuk berbaring di atas tempat tidur setiap malam sebelum terlena, dia haruslah membuka kembali sejarah hariannya dari pagi, iaitu ketika mulai berpuasa pada waktu imsak, sehingga waktu akan tidur pada malam itu.

Pejam mata dan tarik nafas sebentar, lalu ingatkanlah segala tindakan, perbuatan dan pemikirannya dalam jangka masa yang tersebut. Dia sahajalah yang mengetahui positif dan negatif, kuat dan lemah dirinya yang menentukan kualiti dan mutu ibadat puasanya pada hari itu.

Penilaian dan muhasabah diri yang dilakukannya dengan penuh ikhlas ini bakal memberikan pelajaran yang berguna kepadanya untuk mempertingkatkan mutu ibadah dan cara hidupnya yang perlu dijalani di dalam ibadat puasanya sepanjang Ramadhan ini, malah seterusnya akan menjadi tabiatnya, sehingga melewati masa berpuasanya dalam bulan Ramadhan.

Dalam bermuhasabah diri dengan amanah dan jujur ini, dia tentunya akan mencerminkan dirinya sendiri, tanpa menuding jari ke sasaran lain untuk mencari sebarang justifikasi sekiranya ada sesuatu kesilapan atau kesalahan yang telah dilakukannya. 

Satu berita yang saya baca pada hari Jumaat (11 Julai 2013) dalam sebuah akhbar dalam talian, iaitu Sinar Harian,  menjelaskan satu kejadian yang agak menginsafkan diri tentang kelakuan manusia yang amat pelik dan ajaib ini. 

Berita itu menyebut sekumpulan perompak yang memasuki sebuah rumah di Johor, telah menggelidah dan merompak barang-barang yang berharga,  setelah mengancam semua ahli keluarga dengan senjata, mengikat mereka dan menyelubungi setiap orang ahli keluarga itu dengan kain.

Sebelum keluar meninggalkan keluarga yang malang itu, mereka mendatangi orang pertama yang telah diikat tangannya di ruang tamu, iaitu menantu kepada ketua keluarga rumah itu. Mereka membuka ikatannya dan memesan kepadanya supaya melepaskan ikatan orang lain, sambil memberi nasihat kepada orang muda ini supaya menjadi manusia yang baik, jangan menjadi "hantu" seperti mereka....!

Pengakuan penyamun yang menamakan dirinya "hantu" ini (tanpa mempersoalkan motifnya) adalah merupakan satu pengakuan terus terang tentang dirinya, dan dalam situasi ini dia tidak mencari sebarang alasan di atas perbuatannya itu, atau menuding jari kepada kawan-kawan atau orang lain umpamanya yang menyebabkan dia menjadi "hantu".

Perbuatan menuding jari atau menyalahkan orang lain, malah mencari keburukan pihak lain juga, adalah merupakan sesuatu yang biasa dalam budaya hidup manusia pada hari ini.

Seorang yang melakukan kesalahan, jarang sekali akan menyalahkan dirinya, tetapi orang lainlah yang menyebabkan dia melakukan kesilapan itu. Kesilapan yang berlaku bukanlah tanggung jawab sepenuhnya dari dirinya sendiri, tetapi selalunya disebabkan oleh unsur yang lain.

Di dalam persekitaran masyarakat pula, mahkamah akan dibanjiri oleh berbagai-bagai aduan untuk diambil tindakan undang-undang terhadap "kesalahan" pihak lain, atau terhadap satu pihak yang tertentu, termasuk kesalahan jenayah, moral, politik, ekonomi dan sebagainya.

"When we are in the habit of blaming others, we will blame others for our anger, frustration, depression, stress and unhappiness" (Dr Richard Carlson Don't Sweat The Small Stuff...)

Menuding jari kepada orang lain, meletakkan kesalahan kepada pihak ketiga, atau lebeh merbahaya lagi, sering mencari kelemahan dan keburukan orang lain, tanpa sebab, tidak memberikan ketenangan kepada kita. Malah hal ini sering membawa kepada tekanan jiwa, ketegangan dan menyebabkan kemuraman kepada kita tanpa satu sebab yang sahih. 

Sebab itulah Rasulullah SAW memesan supaya jangan kita membuka keaiban orang lain,  malah hendaklah sentiasa  menutup keaiban orang, supaya Allah menutup keaiban kita.

Berburuk sangka dan prejudis terhadap orang lain, kadang-kadang berasaskan persepsi semata-mata yang tidak berasaskan kepada kebenaran atau penilain yang wajar, sebab itulah ketika Allah SWT memerintahkan orang Muslimin supaya berperang menentang penceroboh musyrikin, mereka tidak menyukainya, lalu turunlah firman Allah dari surah Al-Baqarah ayat 219:

"Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedangkan peperangan itu adalah perkara yang kamu benci, dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu, pada hal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu, pada hal ia jahat (buruk) bagi kamu. Dan ingatlah Allah jua yang mengetahui (semuanya itu) sedang kamu tidak mengetahuinya"

Pengajaran dari ayat ini amat baik bagi manusia seluruhnya dalam membina masyarakat dunia yang aman damai dan membangunkan tamadun serta peradaban manusia, khususnya umat Islam sendiri, yang membaca al-Quran dan menghafalnya.

Menuding jari kepada orang lain dengan mencari kesalahan, malah kadang-kadang kerana rupa paras, cara bercakap, berpakaian, atau kelakuan lain yang tidak cucuk dengan diri sendiri, sering juga menjadikan orang itu menaruh buruk sangka kepada ramai orang lain. Buruk sangka inilah yang disifatkan oleh Al-Quran sebagai "Al-Zann" seperti yang ditegaskan dalam surah Al-Hujurat ayat 12:

"Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari sangkaan (Zann), kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah berdosa. Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah sesetengah kamu mengumpat akan sesetengahnya yang lain...."

Semoga ibadat puasa yang berperanan untuk melatih diri supaya berkelakuan dan berfikiran jujur kepada diri sendiri, disamping bermuhasabah diri dengan penuh ikhlas dan insaf, akan dapat menghapuskan tabiat menuding jari kepada orang lain tanpa kebenaran, atau sering menaruh buruk sangka dan berniat jahat kepada pihak lain tanpa penyiasatan dan bukti kebenaran yang nyata.

Malah sifat dan sikap buruk sangka, ingin memburuk-burukkan orang lain secara melulu, sama ada kawan atau lawan, hendaklah di minimumkan. Janganlah terlalu suka menjaga tepi kain orang lain.

Life is a great deal, more fun and much easier to manage when you stop blaming others. Give it  a try during this holy month, this Ramadhan, and see what happens. 

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....