HARI KE-22 PUASA: AMANAH, JUJUR DAN ADIL...
22 RAMADHAN 1434
Alangkah baiknya kalau manusia dapat menjadi orang yang amanah, jujur dan adil, dan alangkah baiknya kalau orang yang berpuasa akan dapat mengambil pelajaran dari ibadat puasanya menjadi orang yang bersifat dengan sifat-sifat yang baik itu.
Malah kalau tidak beramanah, jujur dan adil kepada sesama manusia pun, alangkah baiknya kalau manusia dapat menjadi orang yang beramanah, jujur dan adil kepada dirinya, agar menjadi beramanah dan jujur kepada Allah SWT.
Dalam berpuasa, umat Islam menjadi amanah kepada Allah SWT, kerana dia akan berpuasa tanpa makan dan minum atau membuat satu perkara yang membatalkan puasanya di dalam tempat sulit, tersembunyi atau di tempat terbuka dan di hadapan khalayak.
Dia juga menjadi jujur kerana dalam berpuasa dia tidak mencuba untuk menipu dirinya, apa lagi menipu Tuhan. Kalau bilangan hari berpuasa ialah selama 30 hari, maka dia akan berpuasa selama 30 hari. Tetapi kalau dia terpaksa berbuka satu atau dua hari kerana sakit atau musafir, maka dia akan menggantikannya kemudian selama dua hari itu.
Sifat amanah dan jujur ini tentulah dapat membawanya menjadi orang yang adil, iaitu meletakkan sesuatu pada tempanya, atau berbuat sesuatu mengikut hukumnya yang jelas dan sebagainya. Dia akan menjadi adil kerana dia akan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang, menerima haknya sebagai majikan atau pekerja, orang kaya atau orang miskin.
Dia juga dalam masa yan sama, menjadi orang yang bertanggung jawab kepada peraturan dari Tuhan atau dari manusia dan pihak yang berkuasa. Sebagai hamba Allah, dia seharusnya menunaikan segala tanggung jawabnya kepada Tuhan. Dan sebagai warga negara, dia mempunyai tangggung jawab terhadap negaranya.
Jadi inilah tiga sifat hasil dari didikan ibadat puasa yang sedang dilakukan oleh umat Islam seluruh dunia diantara banyak-banyak sifat lain lagi yang menjadikan manusia sebagai insan sempurna.
Dunia hari ini yang tidak aman, berlaku pembunuhan, peperangan dan sebagainya tentu akan aman sekirnya pemimpin dan ketua negara serta rakyatnya besifat jujur, amanah dan adil.
Barang-barang kita pun tentu aman di rumah atau di luar rumah, mesin ATM, motosikal dan kereta kita pun akan terselamat sekiranya orang semua menjadi amanah, tidak menjadi perompak, pencuri dan penyangak.
Pejabat dan urusannya tentulah berfungsi dengan baik dan berkesan sekiranya semua anggota pejabat itu jujur dan amanah dalam menjalankan tugas masing-masing.
Kereta, bas, motosikal dan lori serta jentolak tentulah terkendali dengan baik sekiranya pemandu dan penunggangnya jujur menjalankan tugas memandu, adil kepada pejalan kaki dan kenderaan lain, amanah dalam mematuhi had laju serta menyedri tanggung jawab masing-masing, tidak mabuk atau memotong Q dan tidak melanggar lampu merah.
Akan wujudkah sebuah dunia yang aman damai, tak ada sengketa dan kerisis kerana semua orang telah menjadi baik dan ihsan?, akan adakah sebuah bank yang yang tidak dirompak orang, akan adakah sebuah pasar raya yang barang-barannya terselamat dan barisan tempat membayarnya terdiri dari orang-orang yang jujur beratur, akan adakah buah dan beras yang baik tanpa dijual dengan mencampur barang yang baik dan tidak baik, yang ori dan palsu, akan adakah semua bayi yang dilahirkan hasil dari pernikahan yang sah, akan adakah semua pelawat ke dalam negara kita yang datang tanpa barang seludup dan menaiki bot laut tanpa paspot......dan akan adakah semua manusia di dunia ini yang baik 100% seperti malaikat...?
Tentu tidak ada, dan tentu tidak akan terjumpa dunia yang bersih begitu, tetapi yang diperlukan bahawa banyak orang yang akan mencuba menjadikan dirinya seberapa bersih dan sebaik mungkin seperti yang dianjurkan oleh ibadat puasa ini, iaitu membentuk peibadi, akhlak, tutur kata, niat di hati, kelakuan, pengunaan panca indera yang amanah, hati yang bersih dan jujur, kepada yang adil dan bijaksana, malah tidur bangun, dan segala gerak gerinya akan didekati semaksimum mungkin dengan perintah Tuhan, Allah SWT.
Inilah ertinya puasa setiap tahun yang kita lakukan selama sebulan ini, dan akan kita ulangkan setiap tahun, tanyalah diri apakah pendidikan yang telah kita manfaatkan, dan bolehkah kita menjadi orang yang jujur, ikhlas dan amanah kepada diri kita sendiri pun dulu untuk bersifat dan bersikap jujur, adil, bijaksana, beramanah kepada Allah SWT.....??
Comments
Post a Comment