HARI KE-15 PUASA; terkenang ke masa dulu.....

15 RAMADHAN 1434
Ada sesuatu yang istimewa mulai pada malam ke-16 puasa mengikut amalan umat Islam di rantau kita, iaitu amalan yang dibuat dalam sembahyang Terawih pada zaman silam, yang mungkin tidak diamalkan lagi pada  hari ini. Masuk ke malam 16 Ramadhan surau dan masjid akan mendirikan sembahyang terawih dengan membaca surah Al-Qadar dalam rakaat yang kedua. Hal ini dilakukan sempena dengan jangkaan ketibaan Malam Lailatul-Qadar dalam babak kedua bulan Ramadhan. Surah Al-Qadar yang dibacakan di dalam rakaat kedua Terawih menerangkan bahawa Allah SWT mulai menurunkan al-Quran pada malam Lailatul-Qadar yang bermaksud malam yang mulia. 

Pada masa itu Terawih dibuat sebanyak 20 rakaat tanpa sebarang perbahasan, kerana semua orang sembahyang terawih 20 rakaat, dan bacaannya pula ialah ayat lazim dalam rakaat pertama, kemudian surah Al-Ikhlas dalam rakaat yang kedua. Maka mulai pada malam 16 Ramadhan inilah ayat yang dibaca dalam rakaat yang kedua digantikan dengan surah Al-Qadar. Itulah keistimewaannya di kampung pada masa itu.

Tetapi sekarang ini imam kampung seperti dulu tidak lah lagi aktif, dan tidak mendapat pasaran, kerana sekarang ini para imam kebanyakannya membaca ayat-ayat al-Quran yang panjang di dalam sembahyang Isyak, dan sembahyang terawih juga. Semuanya adalah hafiz, dan semuanya kelihatan amat tinggi mutunya kerana berjaya menghafal Quran.

Di kampung saya 40 - 50 tahun yang lalu, terdapat dua orang imam yang sering mengimamkan sembahyang terawih, iaitu Lebai Dolah dan Tok Haji Mohamad Rejab. Mereka amat dedikasi, tetapi kalau seorang diantara mereka yang jadi imam, biasanya imam yang seorang lagi hanya sekali sekala saja yang datang menjadi makmum, kerana wirid mereka berlainan selepas sembahyang witir mengikut pengajian masing-masing. 

Lebai Dolah, yang kemudiannya di panggil Haji Dolah selepas balik dari menunaikan haji, belajar di Petani. Saya tidak tahu sangat di mana Haji Mohamad Rejab belajar agama, mungkin di sekolah pondok tempatan saja, wallahu a'lam. Tetapi mereka berdua nampaknya mesra dan baik. 

Bahagian bacaan yang Haji Mohamad Rejab tidak tahu ialah wirid Haji Dolah selepas selesai sembahyang witir yang memang biasa di baca, iaitu membaca Ya Latif, Ya Latif, Ya Kaafi.. itu, iaitu selepas doa sepatutnya selesailah wirid dan para makmum telah bersalaman. Tetapi Haji Dolah tidak berhenti selepas doa, kerana selepas doa ia meneruskan bacaan berlagunya yang lebih kurang berbunyi, sekadar yang saya ingat, ilahi, ilahi tamm, ilahi tamm...(budak-budak yang nakal, dan tak tahu lafaz bacaan dalam bahasa Arab, selalu menyebut ...Ali Hitam, Ali Hitam...saja!). Selepas itu barulah para jemaah bersalaman,  dan makan moreh bubur kacang, kanji (bubur beras biasa yang ditambah udang kering) atau mehoon goreng tanpa rencah.

Saya sering juga menjeling Haji Mohamad Rejab ketika wirid yang sedang dibacakan oleh Haji Dolah, nampaknya dia diam dan tunduk saja, mungkin dia sendiri pun tak tahu apa kah yang diwiridkan oleh Haji Dolah, cuma saya pasti dia tentulah tidak turut sama dengan budak-budak nakal yang membaca Ali Hitam, Ali Hitam itu....Bagaimana pun Haji Mohamad Rejab tidak mahu hal ini dijadikan isu. Itulah keistimewaan orang alim pada masa itu. 

Inilah juga keistimewaan zaman itu, kerana dua orang imam ini tidak berkonfrantasi, malah pada masa itu orang tidak berebut-rebut untuk menjadi imam seperti yang sering juga berlaku pada masa sekarang. Pada masa itu sifat hormat menghormati masih tebal di dalam perasaan dan minda orang kampung yang amat simple itu.

Makmum juga tidaklah secanggih seperti sekarang. Mereka biasanya tidak banyak sangat yang mengenali pakaian jubah dan kopiah puteh. Hanya ada beberapa orang saja yang berkopiah puteh, itu pun warnanya telah bertukar menjadi kehitam-hitaman, mungkin kerana telah lama tidak di cuci, atau selalu digantung di atas penyangkut dekat pelita minyak yang mengeluarkan asap hitam apabila di pasang.

Banyak makmum yang pakai kain pelikat buatan India saja, kerana pada masa itu tidak ada kain pelikat cap Gajah Duduk atau Gajah Tidur dan Gajah Berdiri. Baju Melayu yang dipakai pun mungkin sehelai dua saja untuk keseluruhan bulan Ramadhan itu, kerana tanda sangkut amat nyata ternampak di belakang baju itu, iaitu kainnya tersembol keluar bekas tanduk rusa yang menjadi penyangkut baju di rumah. Masa itu orang kampung bukan tahu guna hanger, malah rupa dan makna hanger itu pun tidak mereka tahu kerana jenis penyangkut baju moden ini tidak pun ada dalam kamus orang kampung, yang mereka tahu hanya sangkut pada batang kayu bercabang yang dijadikan penyangkut baju, atau tanduk rusa yang tajam itu, yang dipaku pada tiang untuk menyangkut baju mereka. Penyangkut tanduk rusa inilah yang sering menikam bahagian atas di belakang baju Melayu yang setiap malam di sangkut, yang meninggalkan tanda tajam di bahagian belakang baju Melayu itu!

Tentang waktu sembahyang terawih pula, kadang-kadang sehingga jam 10 malam belum lagi didirikan sembahyang terawih. Tunggu seorang demi seorang datang, dan ambil wuduk dalam kolah surau, lepas itu bila ada jemaah dalam 10 - 15 orang barulah boleh mula sembahyang. 

Abang Mid selalu cerita tentang Tok Bakar yang selalu meludah balik dalam kolah ketika berkumur-kumur masa ambil air sembahyang.  Orang lain berkumur juga, tetapi meludah dan menyemburkan  air kumur itu di luar kolah! Mungkin Tok Bakar fikir air dalam kolah itu banyak, apa salahnya luah kembali ke dalam kolah dan boleh jimatkan air sikit!!

Amat banyak sekali kenangan manis dan menggelikan hati dapat dikutip kembali pada masa ini dari arwah orang-orang kampung yang serba sederhana dan baik hati itu. Masyarakat kampung yang serba sederhana dan agak perimitif itu sebenarnya mengandungi banyak keunikannya dari segi akhlak dan moralnya, hidup dan matinya, terutamanya dalam menghayati ajaran agama yang amat tradisional, tidak banyak perselisihan dan perdebatan yang kadang-kadang dalam zaman ini mampu memecah belahkan masyarakat, dan yang sering juga menjadi bahan politik kepartian yang tidak menguntungkan sama sekali.

Yang pentingnya ajaran agama itu adalah mudah dan senang, kerana Allah sendiri berfirman dalam konteks puasa Ramadhan, ketika diterangkan  bahawa sesiapa yang sakit dan dalam musafir maka bolehlah ia berbuka puasa dan menggantikannya pada hari yang lain, lalu Allah berfirman: 

"Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran..."Al-Baqarah ayat 185

Mudah dan senang dalam agama ini pula tidaklah bermakna bahawa perentah agama itu dapat diamalkan tanpa syarat rukunya, tetapi dalam masa yang sama Allah juga tidak memerintahkan kita mengamalkan sesuatu yang menyusahkan kita sebagai manusia biasa untuk melakukannya.

Dalam konteks inilah kita memerlukan kebijaksanaan dan ilmu pengetahuan yang dapat mentafsirkan segala prinsip dan dasar agama kita itu, yang nampaknya pada masa kini terlalu banyak orang yang ingin mengeluarkan fatwa dan hukum, mengumpulkan pengikut dan kumpulan, untuk mengamalkan ajaran agama yang ekslusif atau inclusif untuk kumpulan mereka sahaja, seolah-olah agama ini telah berpecah kepada beberapa ajaran tersendiri.

Maka kenangan saya ke masa yang silam inilah yang menambahkan lagi keyakinan saya bahawa agama ini adalah syumul dan lengkap sejak dulu lagi, namun segala kajian dan penyelidikan yang dibuat pada masa kini adalah untuk menambahkan lagi kefahaman dan penghayatan kita terhadap agama sebagai satu cara hidup yang lengkap.

Haji Dolah dan Haji Mohamad Rejab itulah simbol amalan agama yang asas, dan akhlak serta keikhlasan mereka itulah yang menjadi turutan yang baik, malah para jemaah yang sederhana dan memadai dengan segala apa yang ada pada mereka itulah yang menjadi simbol kekuatan dan perpaduan umat Islam seluruhnya.

Bagaimana pun Islam mestilah berkembang dan membangun dengan lebih mendalam lagi mengikut asasnya yang basic itu, bukan mengada-adakan teori dan mazhab baru yang terkeluar dari ajaran Islam yang asasi.

Islam juga tidak harus beku dan statik saja seperti zaman lalu. Zaman sekarang, Islamnya bukan lah Islam zaman Haji Dolah dan Haji Mohd Rejab, tetapi zaman canggih dan zaman ustaz mercedez, travel agent, klinik tradisional, Imam Muda, Bolywood dan sebagainya. Zaman yang telah amat maju.... 




Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....