PUASA HARI KE-20: KETIKA NYAWA MANUSIA MENJADI AMAT MURAH
20 RAMADHAN 1434
Di negara Arab bulan puasa ini menyaksikan orang mati dalam perhimpunan raksaksa politik, tetapi di negara kita, orang mati di atas jalan raya (tetapi saya menagguhkan dulu pembicaraan tentang kematian orang Malaysia di atas jalan raya ini).
Di Mesir, Iraq, Syria dan Tunisia, orang sesama Islam bertembakan, seolah-olah segala kematian adalah dirancang. Orang yang menyokong bekas Presiden Mesir, Morsi, umpamanya merancang untuk menembak, membaling batu dan sebagainya untuk membunuh kumpulan yang anti Morsi.
Kumpulan yang menentang dan anti Morsi pula, berusaha untuk membunuh atau mencederakan para penyokong Morsi. Keadaan ini menjadi bertambah sulit kerana terdapat berita terakhir yang menyatakan bahawa pihak tentera Mesir juga bertindak menembak para penyokong Morsi. Kalau berita ini benar, maka akan bertambah sukar lagilah keadaan di sana, kerana askar yang sepatutnya memainkan peranan untuk menjaga keamanan telah mengambil pendirian berat sebelah kepada pihak yang anti Morsi.
Inilah akibatnya apabila sebuah negara tidak mempunyai sistem pemerintahan yang berwibawa. Malah selama ini kita sering melihat bahawa negara-negara Islam, terutamanya di Timur Tengah, sering mengalami kerisis kepimpinan yang serius. Kerisis kepimpinan, membawa kepada kerisis ekonomi dan kemanusiaan yang berat.
Di Iraq orang berusaha membunuh sesama sendiri juga, tetapi bermotifkan mazhab dan puak, demikian juga di Syria, orang membunuh dan menjadikan negara sebagai medan perang, kerana taksub dan fanatik yang sama. Di Tunisia pembunuhan berlaku ke atas seorang ahli politik.
Pendeknya nyawa manusia pada masa ini menjadi terlalu murah, mungkin lebih murah dari nyawa seekor semut atau seekor lipas. Yang amat tragik lagi, nyawa manusia ini ialah nyawa orang-orang yang memeluk agama suci, agama Islam, yang mempunyai teras yang kuat dalam menjaga nyawa manusia.
Orang Islam tidak boleh membunuh, sama ada membunuh diri sendiri atau membunuh orang lain. Orang Islam tidak boleh berperang, kecuali untuk mempertahankan diri, dan mempertahankan diri ini ialah mempertahankan agama dan negara serta hal lain yang dibenarkan oleh agama, bukan berperang kerana ideologi politik.
Negara kita pernah mengalami kerisis yang berdasarkan polarisasi kaum pada tahun 1969. Tetapi sebelum lagi kerisis itu menjadi besar dan sukar dikawal, para pemimpin negara kita telah berjaya mengambil langkah-langkah yang drastik untuk mengembalikan keamanan, dan demokrasi dapat ditegakkan semula dalam masa yang singkat.
Tetapi di Mesir keadaan telah menjadi amat serius dan bilangan para penunjuk perasaan amat cepat meningkat ribuan atau ratusan ribu, maka keadaan telah terkeluar dari kawalan. Malah keadaan menjadi tidak terkawal dan tidak terpimpin, apabila ketua tentera Mesir menggesa kumpulan penentang Morsi supaya keluar beramai-ramai berkumpul sebagai tanda sokongan kepada tentera, lalu bertambahlah rasa keliru dan keadaan yang tidak menentu, dan akhirnya berlaku konfrantasi di antara dua kumpulan yang penuh dengan emosi dan sentimen partisan ini, maka berlakukan pertempuran dan peperangan saudara yang ganas, mebunuh ratusan mangsa.
Kita di Malaysia tidak mempunyai maklumat yang jelas tentang pertempuran ini. Yang jelasnya penunjuk perasaan yang pro Morsi menyatakan bahawa mereka adalah dari parti Ikhwanul-Muslimin yang berjuang atas landasan Islam dan akan menegakkan kerajaan Islam. Sedangkan para anti Morsi pula mengatakan bahawa Ikhwanul-Muslim sejak mengambil tampuk pemerintahan telah gagal membangunkan negara dari segi ekonomi, sosial dan bidang yang lain lagi. Paling ketara ialah tindakan Morsi mengambil kuasa yang tidak terhad dalam beberapa sektor di dalam tangannya.
Pendeknya kedua belah pihak merupakan golongan yang amat taksub dan mungkin juga berjuang atas dasar polarisasi politik sempit masing-masing, yang ketika itu sama ada perjuangan itu berdasarkan Islam atau tidak hanyalah merupakan dakwaan semata-mata, kerana kalau perjuangan itu benar-benar berdasarkan Islam yang tulin, maka hal ini mungkin hanya merupakan dakwaan sahaja, kerana politik itu tetap politik juga.
Keghairahan orang awam untuk menyelesaikan masalah secara kekerasan tentulah tidak akan mencapai matlamatnya, malah hanya merupakan medan pertempuran yang akan berlarutan dan menjadi medan sembelihan manusia dengan segala tragedi yang mencabul rukun-rukun kemanusiaan.
Ketika inilah nampaknya kerajaan dan kepimpinan Islam memerlukan kebijaksanaan dan hikmat bagaimanakah caranya untuk menyelesaikan masalah dengan cara yang bertamadun.
Mungkin kesatuan Muslim di alam Melayu yang lebih kukuh dan berwibawa perlu ditubuhkan, supaya kesatuan ini dapat menawarkan diri menjadi orang tengah dalam menyelesaikan masalah saudara-saudara Muslim kita itu. Gagasan kesatuan Muslim rantau Melayu hendaklah direalisasikan. Kerajaan Malaysia mungkin boleh mengambil inisiatif bersama-sama dengan negara Indonesia bagi mengkaji dan menyusun strategi yang konkrit dalam penubuhan pakatan ini.
Negara Timur Tengah dan Afrika Utara masing-masing menghadapai masalah dan kerisis dalaman dan luaran mereka yang banyak. Mereka hilang kewibawaan dan jati diri untuk bersepakat sesama sendiri dalam mencari jalan perdamaian mereka.
Maka yang tinggal hanyalah Muslim Nusantara, Muslim Melayu untuk diwujudkan kesatuannya.
Ini hanyalah satu impian, siapa tahu, satu hari mungkin menjadi kenyataan, insya'Allah berkat doa dalam bulan puasa yang mulia ini.
Comments
Post a Comment