PUASA HARI KE-9: KITA TIDAK HARUS GANGGU AGAMA LAIN...
9 RAMADHAN 1434
Selamat menjalani ibadat puasa Ramadhan hari ke 9 pada hari ini. Ramadhan tahun ini di beberapa buah negara Islam datangnya membawa derita dan sengsara yang bersangatan. Umat Islam di Mesir berpuasa dalam kerisis politik yang serius. Ribuan umat Islam di sana berbuka puasa, menunaikan sembahyang terawih, bersahur dan berehat tidak menentu. Di Syria rakyatnya menjadi pelarian perang di antara Ketua Negara dan rakyat. Jutaan pelarian perangnya bersusah payah berpindah randah ke negara lain mencari perlindungan.
Kita di Malaysia, umat Islam berhadapan dengan kerisis, tetapi agak ringan dan tidak mengancam keselamatan nyawa. Gangguan yang pada pandangan saya amat mengecewakan, menimpa umat Islam dengan beberapa penghinaan seperti gambaran orang berbuka puasa dengan makanan kaum Cina yang punya logo Halal, sedangkan makanannya adalah haram.
Yang agak serius ialah kenyataan Duta Vatican yang menyalakan kembali isu kalimah Allah, yang selama ini hanya berkisar di dalam masyarakat Malaysia sendiri. Tetapi kali ini nampaknya melibatkan misi asing dari Vatican.
Saya pernah mengikuti rombongan rasmi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada era kepimpinannya ke Vatican menemui Pope pada masa itu, dalam rangka lawatan mesra untuk memupuk perhubungan baik antara negara kita dan Vatican, juga dalam hubungan antara agama, Islam dan Katholik. Turut sama dalam rombongan itu ialah Bernard Dompok dan Leo Morgi.
Pada ketika itu, kedua buah negara, iaitu Malaysia dan Vatican, tidak ada hubungan diplomatik, tetapi perhubungannya amat baik, malah saya sendiri dapat merasakan kemesraan itu ketika kami duduk bersama dengan Pope.
Ketika lawatan itu diadakan, saya tidak merasa sesuatu yang ganjil, kerana kita di Malaysia sememangnya amat berpengalaman dengan masyarakat berbilang agama dan kaum, dan sifat Allah yang Maha Pemurah (Al-Rahman) dan Maha Mengasihani (Al-Rahim) amat kita fahami konsepnya, iaitu Allah SWT adalah amat pemurah dan pengasih bagi sekelian makhloknya, termasuk manusia yang menganut agama Islam dan yang tidak menganut agama Islam.
Kita mengambil konsep (Al-Rahman) terhadap masyarakat Muslim dan bukan Muslim, dan dalam masa yang sama kita mengambil konsep (Al-Rahim) dalam hubungan kemesraan dan persaudaraan sesama Islam, kerana sifat Allah ialah pemurah dan pengasih kepada manusia seluruhnya.
Dalam keadaan inilah, kita sering memperkuatkan hubungan kita sesama masyaraka Malaysia dari kepelbagaian agama, budaya, bahasa dan tradisinya, tanpa diskriminasi, sehingga kita dengan itu dapat memupuk hidup yang harmoni dan aman damai, serta memberikan keadilan dan hak kepada semua warga negara tanpa merujuk kepada latarbelakang agama, etnik, budaya, bahasa dan sebagainya.
Namun begitu, saya percaya bahawa sebahagian penganut Kristian Katholik, walau pun peratusannya terlalu kecil di negara kita ini, telah merasakan bahawa masanya telah tiba bahawa Malaysia mempunyai hubungan diplomatik dengan Vatican, dan dengan itu hubungan tersebut telah pun diwujudkan.
Sayangnya perkembangan terakhir ini telah mencetuskan satu kegelisahan dalam masyarakat Malaysia, terutamanya masyarakat Muslim, akibat dari kenyataan yang dibuat oleh Duta Vatican di Malaysia tentang penggunaan nama Allah, yang nampaknya senada dengan tuntutan kalanagn tertentu, untuk menggunakan kalimah itu dalam penerbitan mereka.
Saya pernah menjadi diplomat di Saudi Arabia, saya tidak pernah mengetahui dan melihat wujudnya kenyataan yang kontraversal seorang Diplomat asing di sana terhadap negara Arab Saudi, kerana sebelum menjadi diplomat bagi mewakili negara kita, maka kita seharusnya telah mengetahui etika kerja, termasuk membuat kenyataan dan sebagainya yang seharusnya menjaga hubungan baik diantara kedua buah negara, dan lebih dari itu tidaklah membuat sebarang kenyataan yang boleh dianggap sebagai mencampuri urusan dan dasar negara tersebut.
Di Malaysia sendiri, sekiranya pemerintah kita sendiri pun membuat kenyataan yang bercanggah dengan etika perhubungan antara bangsa, atau antara negara, maka rakyat Malaysia sendiri yang akan bangkit menentang dasar itu, atau memberi teguran membina kepada Kerajaan kita supaya hal itu tidak di lakukan sama sekali.
Oleh itu, sungguh pun Vatican dan Malaysia mempunyai hubungan diplomatik, namun sepatutnya golongan yang paling utama sekali bangun membetulkan keadaan akibat dari kenyataan Duta Vatican itu, ialah masyarakat Kristian, dan Katholik sendiri, bukannya masyarakat Islam, kerana urusan dalaman negara kita tidaklah seharusnya dicampuri oleh negara lain, malah pandangan Duta Vatican itu adalah merupakan satu pencabulan terhadap dasar hubungan dua hala (bilateral) di antara Malaysia dan Vatican.
Saya percaya hal ini disedari dari awal lagi oleh para diplomat dan orang-orang yang bertanggung jawab di dalam urusan luar negara. Amat tidak logik dan tidak masuk akal sama sekali bagi seorang Duta, dari negara luar, tidak mengetahui hal ini, dan kalau lah hal ini berlaku kepada Duta kita di luar negara, tentulah Wisma Putra akan memanggil Duta itu balik bagi memberi penjelasannya.
Semasa saya berada di London baru-baru ini dalam lawatan saya ke beberapa buah universiti di sana, saya terbaca dalam akhbar The Sunday Telegraph bertarikh 30 Jun 2013 satu laporan oleh korespondan BBC tentang Vatican, iaitu bertajuk "The Sins of The Vatican" di mana pelapor ini menulis "The sex and corruption scandals are growing at the heart of the Catholic Church....It was claimed that Roman Priests had used prostitutes..."
Bagaimana pun berita ini tidak memberikan sebarang kesan negatif kepada saya tentang agama Katholik itu atau ketua-ketuanya, kerana saya tidak mempunyai sebarang permusuhan terhadap agama lain, malahan saya menganggap hal ini adalah merupakan satu urusan dalaman agama tersebut yang tidak seharusnya kita gunakan untuk mencetuskan permusuhan di antara kita dengan penganut agama tersebut, atau menjadikannya satu senjata untuk mengecam agama Katholik.
Oleh itu dengan hanya memohon maaf setelah kenyataan yang negatif itu telah dikeluarkan, dan setelah melemparkan bom api yang telah membakarkan sebahagian besar rasa toleransi dan persefahaman yang telah di pupuk selama ini di antara agama Islam dan Katholik, termasuk dengan berlangsungnya lawatan muhibbah yang di lakukan oleh Tun Dr Mahathir dan rombongannya ke Vatican seperti yang saya sebutkan di atas, adalah merupakan satu sandiwara dan wayang kulit yang amat pincang sekali dalam dunia moden dan global ini.
Saya berharap rakyat Malaysia dari berbagai etnik dan latar belakang agama, tidak akan mengambil sikap permusuhan terhadap agama Katholik kerana kenyataan Duta Vatican itu, tetapi anggaplah bahawa kenyataan itu telah di buat oleh seorang individu yang di hantar sebagai Duta, yang seharusnya dinggap sebagai seorang yang tidak layak mewakili negara agama terbesar itu.
Comments
Post a Comment