RAMADHAN HARI PERTAMA - BERMULALAH SAAT DAN KETIKANYA.......


1 RAMADHAN 1434


Sebelum Azan Isyak semalam, Selasa, 30 Syaaban 1434, kelihatan wanita bertelekong, dan lelaki berbaju labuh atau berkain pelikat, serta kanak-kanak, berjalan menuju ke surau. Malam itu ialah malam 1 Ramadhan. Esoknya, iaitu hari ini, bermula puasa bagi tahun ini. Malam tadi mulailah umat Islam bersembahyang terawih selepas isyak.

Hari ini kita berpuasa....... Ramadhan datang lagi tahun ini, dan kita bersyukur masih dapat menyambutnya. Banyak keluarga dan saudara mara, atau sahabat handai, yang telah kehilangan anggota keluarga dan kaum kerabat tersayang. Pergi dulu sebelum sempat menemui bulan berkat ini.

Seorang ibu yang sedang bersiap-siap untuk sembahyang terawih, menitiskan air mata mengenangkan anak lelaki remajanya yang telah pergi meninggalkannya seminggu yang lalu, akibat kemalangan jalan raya.

Seorang kawan meratapi pemergian temannya yang baik dan pemurah, sama sebaya dengannya, berumur 43 tahun. Temannya mengidap penyakit kencing manis, kemudian melarat kepada kegagalan buah pinggangnya, dan dia tidak tedaya lagi melawan penyakitnya setelah beberapa tahun menjalani rawatan dialisis. Lalu meninggal.

Anak-anak gadis yang merantau, bekerja di KL dan kawasan sekitarnya, yang tinggal berseorangan di rumah sewa, merasa sedih kerana akan bersahur dan berbuka puasa sendirian sahaja. Seorang dari mereka berkata, dia rasa nak menangis ketika mengadap nasi bungkus yang dibelinya untuk berbuka mengikut pengalamannya tahun lalu.

Demikianlah Ramadhan memberikan pengajaran yang banyak kepada orang yang berpuasa. Orang berpuasa seharusnya besabar, kerana ibadat puasa adalah ibadat yang memerlukan kesabaran. Orang harus sabar ketika menghadapi ledakan emosi mengenangkan orang tersayang yang telah pergi dulu.

Orang harus juga tabah ketika menghadapi kesunyian hidup ketika dalam bulan mulia ini berseorangan, meski pun telah menjadi teradisinya bahawa dalam bulan puasa ini semua anggota keluarga bekumpul dan berbuka besama dengan riang. Tetapi anak gadis ini perlu mencari sara hidup di kota.

Namun puasa bukan tentang cerita mati, atau dukacita sepanjang masa, malahan puasa ialah untuk mengajar manusia supaya terus hidup.  Untuk meneruskan hidup, orang Islam seharusnya terus bekerja walau pun dalam keadaan haus dan lapar. Malah orang yang berniat pada malamnya untuk berpuasa pada hari esok, tidak sangat akan teasa lapar dan dahaganya, kerana "anda adalah apa yang anda fikirkan!"

Fikirkan yang positif, maka positiflah hidup anda, dan bila berfikir untuk positif maka kerahlah pemikiran dan tenaga anda untuk kehidupan yang positif, produktif, hidup yang berkualiti, optimis dan tidak berputus asa, bersyukur dan memandang ke hadapan dengan penuh harapan.

Inilah satu daripada hikmat dan rahsia puasa yang mungkin tidak pernah disedari oleh masyarakat kita. Puasa adalah ujian dan sabar, kakuatan iman dan penyerahan mutlak kepada Allah SWT.

Surah Al-Baqarah ayat 155 menjelaskan tentang ujian kepada manusia, iaitu ujian yang membawa kepada ketakutan, kelaparan,  kekurangan harta benda, kehilangan nyawa dan  hasil buah-buhan. Maka orang-orang yang sabar sahajalah yang diberikan kegembiraan...

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....