HARI KE-13 PUASA: TRAGEDI YANG MERAGUT NYAWA ORANG ISLAM.......
13 RAMADHAN 1434
Ramadhan bulan ibadat, bulan doa mohon rahmah, maghfirah dan bebas dari api neraka. Itulah doa kita semua orang Islam, dan hal inilah yang membezakan kita umat Islam dari umat lain.
Dalam bulan Ramadhan, pada umumnya, perkara pertama yang terlintas di kepala setiap orang Islam pada malam menjelangnya bulan Ramadhan ialah arwah orang-orang tercinta dan tersayang yang telah pergi dulu, sama ada telah lama meninggalkan kita, atau yang paling terbaru meninggal dunia ini.
Mengenang mereka bukan hanya sekadar mengenang dengan teriak tangis menitiskan air mata, tetapi mengiringi ledakan emosi dan ingatan itu dengan doa restu, bacaan ayat-ayat suci, malah mahu memberikan apa saja untuk mereka. Lalu gambaran kasih sayang, kenangan manis yang lama segeralah terbayang semula di dalam fikiran dan ingatan kita.
Dalam bulan Ramadhan ini, semasa kita di perantauan dengan keluarga kita sendiri, dan emak ayah kita berada di kampung sendirian, kita sering kali terbayang di kepala kita ketika akan berbuka atau bersahur, apakah agaknya yang ayah dan ibu kita makan dan minum pada masa itu. Tiba-tiba kita menjadi sedih dan rindukan mereka, terutamanya ketika kita sendiri sedang menjamah makanan yang enak-enak. Apakah emak ayah kita juga sedang berbuka dengan makanan yang mewah atau agak mewah seperti kita?
Tetapi bagi orang yang telah pun melepaskan emak ayah mereka yang telah pergi dulu, kenangannya tidaklah lagi pada makan dan minum, atau terbayangkan mereka dalam kepayahan menceduk air perigi bagi mengambil wuduk, kemudiannya berjalan dalam gelap malam menuju ke surau yang agak usang di dalam kampung. Namun yang terbayangkan sekarang ialah kehidupan mereka di alam baqa', jauh sekali dari alam dunia yang fana ini, lalu hanya doa dan ayat al-Quran yang dapat di kirimkan kepada mereka, dan kenangan inilah yang amat abadi, amat menyentuh perasaan dan hati.
Memang amat ramai orang yang disayangi telah pun meninggalkan dunia dan kehidupannya yang berbagai warna dan coraknya ini. Emak ayah, datuk nenek, anak isteri, mentua taya, saudara kandung, anak saudara yang pergi ketika umurnya masih muda, kemalangan atau sakit biasa, semuanya pergi kerana masanya telah sampai untuk kembali menyahut panggilan Allah, manusia pergi apabila sampai ajalnya, tanpa terlewat atau terdahulu barang sesaat pun, dan yang lebih penting lagi manusia tidak mengetahui di bumi manakah dia akan menemui ajalnya. Semuanya ini hanya dalam maklumat dan kehendak Allah SWT.
Menjelang Ramadhan tahun ini, di tanah para anbiya', Iraq, Syria, Mesir dan beberapa kawasan lain lagi, malah telah lama sekali berlaku di Palestin, ramai umat Islam yang menemui ajalnya, bukan kerana penyakit kronik, kemalangan jalan raya, atau rumah terbakar dan sebagainya, tetapi terkena tembakan dan ledakan bom dari musuh, atau saudara seagama sendiri.
Masyarakat Islam sedang diperkotak katikkan oleh banyak anasir, anasir luar dan dalaman, yang nampaknya disambut dan dialu-alukan oleh sesama Islam, dan berlakulah pembunuhan sama sendiri. Masyarakat Islam yang berkerisis itu nampaknya tidak punya jalan keluar yang selamat, tidak punya pemimpin yang berwibawa, tidak punya hikmah dan nilai-nilai akhlak yang mampu memandu akal fikiran dan emosi mereka, semuanya kelihatan buntu, maka yang tinggal hanyalah konfrantasi, dua, atau beberapa kumpulan berlawan tanpa strategi.
Arwah Hamid Othman, semasa akhir-akhir hayatnya, ketika berlaku kerisis Mesir untuk menjatuhkan Presiden Hosni Mubarak tidak lama dulu, sering juga berbual dengan saya, bercerita tentang Medan Tahrir, tempat kami melaluinya setiap hari ketika balik ke rumah atau ketika pergi minum jus mangga di sekitar Medan tersebut. Jenakanya amat menyentuh perasaan saya hingga kini, setelah dia telah pun pergi. Arwah tentu akan membuat panggilan telefon kepada saya lagi sekiranya dia ada ketika Medan Tahrir sekali lagi menjadi hos kepada jutaan orang dalam kerisis Ikhwan pada masa ini.
Dulu Medan Tahrir terhias dengan bunga dan taman yang cantik, tetapi kini Medan itu menjadi perhiasan untuk sepanduk dan manusia yang bengis serta heruk pekok suara marah dan maki hamun. Menjadi medan pertempuran yang menakutkan.
Semalam berlaku kekacauan di Mansoura, pekan yang menjadi tumpuan pelajar Melayu menyambung pelajaran di Universitinya untuk mempelajari ilmu perubatan. Tiga orang wanita terkorban oleh ledakan peluru yang tidak mengenali mangsanya, seorang bernama Hala Mohammed berumur 16 tahun pelajar sekolah menengah, seorang lagi Amal Al-Mutawalli, 45 tahun, isteri kepada seorang Imam dan pendakwah, dan yang akhirnya ialah Islam Ali Abdul Ghani 38 tahun, ahli Farmasi. Mereka mati sebagai lambang kekerasan dan keganasan politik yang tidak menentu.
Nampaknya Mesir bermandi darah, dan tidak tercerita lagi kematian dan penderitaan umat Islam di Iraq, yang juga mengalami kemalangan jiwa yang besar, juga Syria yang masih berlarutan dengan kerisis kemanusiaan yang panjang. Semuanya berlaku dalam bulan Ramadhan tahun ini, dan mungkin akan berlarutan agak lama lagi.
Kalau kita di sini sering mengenangkan orang-orang yang telah pergi kerana kematian dan ajal ketetapan Allah mengikut takdirnya, maka orang-orang di sana juga mengalami hal yang sama, tetapi yang membezakannya, kematian di sana amat tragik, amat menyedihkan, terutamanya apabila kaum keluarga melihat kulit kepala dan jasad yang terkoyak kerana peluru, darah berpancutan dari dada dan tubuh mangsa, malah ketika mangsa belum bersedia dengan syahadahnya mungkin...dan kemuncaknya kerana kerisis sesama sendiri yang tidak menemui jalan penyelesaian, serta amat malangnya lagi berlaku di dalam bulan ibadat, Ramadhan al-mubarak, yang sepatutnya dihabiskan waktunya bersama keluarga dan berjemaah di masjid dengan penuh aman dan damai.
Bagaimana pun, hari ini amat gemilang, kita melangkahlah ke hari 13 Ramadhan ini dalam pemeliharaan Allah SWT di tanah air kita ini, dan Ramadhan ini nampaknya berlalu agak pantas, makan minum dan rezeki amat mewah, masjid dan surau amat selesa dengan hawa dingin dan lampu terang benderang, kita tetap beribadat dan berdoa, sambil bersyukur memuji Allah SWT.
Bagaimana pun, hari ini amat gemilang, kita melangkahlah ke hari 13 Ramadhan ini dalam pemeliharaan Allah SWT di tanah air kita ini, dan Ramadhan ini nampaknya berlalu agak pantas, makan minum dan rezeki amat mewah, masjid dan surau amat selesa dengan hawa dingin dan lampu terang benderang, kita tetap beribadat dan berdoa, sambil bersyukur memuji Allah SWT.
Comments
Post a Comment