HARI KE-21 PUASA: POWER SHARING AND PEACEFUL COEXISTENCE


21 RAMADHAN 1434


Setiap kali saya dijemput untuk berbuka puasa di hotel khususnya, maka saya dapat melihat masyarakat bukan Islam yang turut serta menjamu selera di sana. Mungkin mereka adalah tetamu yang dijemput, atau mungkin juga merekalah yang menjemput kawan-kawan Islam untuk sama-sama berbuka puasa di sana. Hal ini merupakan satu budaya yang unik untuk negara kita, terutamanya apabila melihat akan kemesraan dan persefahaman yang kelihatan amat subur di kalangan mereka.

Yang bukan Islam akan sama-sama menunggu azan maghrib sebelum mulai menjamah makanan dan minuman, seolah-olah mereka juga telah sama-sama berpuasa seperti orang Islam. Kalau hendak di nilai fenomena ini, maka inilah  gambaran dan manifestasi budaya dan cara hidup rakyat Malaysia dalam satu masyarakat yang berkongsi kuasa dan hidup bersama secara aman damai (Power sharing and peaceful coexistence).

Sebenarnya fenomena ini merupakan satu cara hidup yang telah lama berlangsung di negara kita, kerana selama ini orang Melayu sentiasa menerima kedatangan orang bukan Melayu yang ingin hidup bersama di dalam negara ini,  iaitu untuk mencari kehidupan dan kesenangan, bekerjasama dan bertolongan seperti anggota masyarakat yang erat hubungannya walau pun berbeza agama, bahasa dan tradisi budaya masing-masing.

Saya menggunakan istilah power sharing atau berkongsi kuasa di atas ialah kerana menyedari akan keadaan politik negara kita yang selama ini telah mengamalkan dasar ini, iaitu dalam usaha untuk mendapatkan kemerdekaan negara, dan membentuk kerajaan serta mempunyai Kabinet dan menganggotai Parlimen dan sebagainya, yang semuanya dikongsi oleh semua rakyat negara ini.

Dalam situasi dan hakikat negara berbilang kaum di dunia ini mungkin terdapat negara yang tidak mempunyai dasar ini, iaitu terdapat rakyatnya yang tidak diwakili di dalam pemerintahan negara dan mungkin juga dalam keadaan yang agak ekstrem, golongan minoriti tidak mempunyai hak yang sama dengan golongan majoriti penduduk asal negara itu.

Oleh itu powering sharing menghasilkan kehidupan bersama secara aman dan damai, atau peaceful coexistense, iaitu hidup bersama di dalam satu negara secara produktif dan saling mengerti, bertolong menolong dan bantu membantu dalam membina negara dan bangsa secara ikhlas. 

Dalam konteks ini juga kita menghayati dan merialisasikan dasar demokrasi yang menjadi asas pemerintahan negara kita ini dalam menentukan hak dan tanggung jawab setiap warga negara dan peluang untuk mendapatkan pelajaran dan pekerjaan yang sama rata. 

Namun begitu, menyedari akan jurang ekonomi dan pendidikan yang wujud di dalam negara kita diantara kaum, yang bererti bahawa terdapat golongan kaum yang kaya dan mempunyai peluang untuk mendapatkan pendidikan tinggi melebihi kaum yang lain, maka perlaksanaan demokrasi di dalam negara kita ini haruslah mengambil kira perbezaan ini di antara kaum, yang bererti bahawa golongan yang ketinggalan haruslah diberikan pertolongan yang lebih, dan diutamakan oleh Kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup dan peluang mereka dalam mencapai taraf hidup yang baik sebagai satu usaha bagi memperkecilkan jurang perbezaan di antara kaum itu.

Semua ciri pemerintahan yang bertujuan untuk mencipta bangsa Malaysia yang sama rata dan mewujudkan keadilan untuk semua di dalam negara ini, nampaknya telah diterima baik oleh segala pihak, terutamanya oleh orang Melayu sendiri yang terkenal dengan sifat toleransi dan bertolak ansur yang mereka warisi dari tradisi bangsa dan ajaran Islam yang mereka terima di dalam kehidupan mereka.

Hal ini tidak perlu saya huraikan dengan panjang lebar, kerana bagi sebarang orang biasa yang tinggal dan hidup sebagai sebahagian dari masyarakat negara ini saya rasa amat mereka memahami cara hidup dan dasar ini, tidak kira dari kaum atau keturunan mana sekali pun.

Budaya inilah yang dapat kita lihat ketika kita mengunjungi ke kampung-kampung dan daerah luar bandar yang agak terpencil, iaitu ketika kita dapat melihat budaya bersama rakyat Malaysia yang dihayati dengan baik.

Inilah juga gambaran saya ketika turut serta berbuka puasa di hotel atau di mana-mana saja yang menghimpunkan rakyat kita yang terdiri dari kepelbagaian kaum dan agama hingga ke masa kini, yang merupakan satu lambang kehidupan kita yang amat unik dan positif.

Oleh itu amatlah diharapkan bahawa kita semua mempunyai persefahaman yang baik untuk merialisasikan dasar ini seterusnya hingga selama-lamanya, dan kemesraan ini bukan hanya di dalam menghadapi hidangan makan dan minum sempena bulan puasa ini, malah di dalam menterjemahkan semangat ini di dalam semua aspek kehidupan kita terutamanya di dalam politik negara kita sendiri. 

Adalah juga menjadi tanggung jawab kita juga untuk menanamkan perasaan dan semangat ini di dalam jiwa generasi baru warga negara Malaysia, kerana akhir-akhir ini, rasa hormat menghormati diantara kita kelihatan agak tercemar, malah pada awal bulan mulia, iaitu bulan Ramadhan ini pun, terdapat anak muda yang amat sinikal dan tidak beradab dengan tindakannya mempersenda-sendakan umat Islam dengan gambarannya berbuka puasa dengan makanan yang biasanya haram bagi umat Islam tetapi anak muda ini sengaja mempamerkan logo halal Jakim, yang amat menyinggung dan menghina agama majoriti rakyat negara kita ini.

Memang kita akui bahawa perbuatan biadab itu adalah perbuatan terpencil oleh budak nakal yang tidak memahami dasar yang saya sebutkan di atas, tetapi kita tidak memerlukan fenomena buruk ini menjadi wabak dan kuman yang akan sentiasa berjangkit kepada orang lain.

Orang-orang nakal dan yang tidak menghayati budaya hidup bersama secara aman di negara kita inilah yang seharusnya kita didik mereka dengan baik, supaya masyarakat kita akan terus membangun dengan baik menjadi masyarakat yang bertamadun dan beretika.

Syukur kita bahawa masih banyak anggota masyarakat berbilang kaum di negara kita ini yang masih menghayati kehidupan bersama secara aman damai, seperti yang kita saksikan ketika kita berbuka puasa bersama-sama dalam bulan berkat ini.


Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....