RAMADHAN HARI KE-6 COMPASSION: APAKAH MAKNANYA?

PUASA HARI KE-6
Bulan puasa yang nampaknya berlalu dengan agak pantas, memasuki hari ke-6 pada hari ini, menyerlahkan  semangat persaudaraan yang tinggi di antara umat Islam. Ibadat puasa mendidik orang Islam merasa simpati, bertimbang rasa dan sentiasa menterjemahkan perasaan belas kasihan sesama sendiri dengan menghulurkan sedekah dan derma kepada anak-anak yatim, fakir miskin dan orang-orang yang ditimpa kemalangan dan sebagainya..

Surau dan masjid dengan mewahnya menyediakan jamuan berbuka puasa dan moreh, menjamu anak-anak para jemaah, malah orang ramai mengeluarkan derma kepada anggota masyarakat yang memerlukan bantuan, bukan hanya setakat di dalam negara, tetapi hingga ke Palestin dan lain-lain. 

Dalam bulan puasa inilah juga umat Islam yang mampu akan mengeluarkan zakat kepada pusat pungutan zakat negeri-negeri, dan akhirnya akan membayar zakat fitrah menjelang syawal nanti.

 Inilah maknanya compassion di dalam istilah Inggeris yang cuba saya persoalkan di atas tentang makna dan takrifannya. Compassion  telah dijelaskan di dalam rujukan yang tertentu sebagai "..is a sympathetic feeling. ......to take focus off yourself and to imagine what it's like to be in someone else's predicament, and simultaneously, to feel love for that person..It's the recognition that other people's problems, their pain and frustrations, are every bit as real as our own....."

Inilah sebenarnya falsafah kebajikan dalam Islam, dan penjelasan al-Quran tentang kedudukan manusia yang berbeza-beza di dalam banyak hal, termasuk di dalam memiliki harta benda dan kekayaan, sehingga dengan itu difardukan zakat dan sedekah di atas orang-orang yang berkemampuan:

Allah berfirman
"Sesungguhnya sadaqah (Zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, miskin, orang yang menguruskannya (Amil), muallaf yang dijinakkan hatinya, hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang yang berhutang, belanja untuk jalan Allah, dan orang musafir, (ketetapan hukum yang demikian itu)sebagai satu (yang datangnya) dari Allah, dan ingatlah Allah amat mengetahui, lagi amat bijaksana"  Surah Al-Taubah, ayat 60.

Malah selain dari zakat, segala jenis sumbangan material adalah juga menjadi fokus Islam dalam mewujudkan kesetabilan dan keadilan sosial, sehingga sekiranya seorang hamba Allah meninggal dunia maka diantara peninggalannya selain dari "ilmu yang dimanfaatkan" dan "anak-anak soleh yang mendoakannya", maka "sadaqah jariah" adalah satu peninggalan yang tidak putus kebajikannya, dan akan mendapat ganjaran Allah buat selama-lamanya. 

Segala sedekah jariah dan amalan kebajikan yang merupakan bantuan kewangan, zakat dan wakaf, serta cara yang lain lagi, sering kita gunakan dalam istilah "infaq fi sabilillah" satu sistem pembangunan masyarakat yang terlebih dahulu diperkenalkan oleh Islam sebelum dibina dan diperkenalkan oleh masyarakat Barat dalam sistem ekonomi mereka.

Sistem Islam tentang hal ini seharusnya dapat kita uruskan dengan cara yang lebih produktif lagi supaya sistem ini tidak hanya menjadi sistem kebajikan, tetapi sistem pembangunan ekonomi yang lebih luas, termasuk dalam khidmat kesihatan perumahan, pemakanan, pendidikan dan sebagainya.

Di negara kita sahaja, zakat yang dikutip saban tahun dari seluruh negeri mungkin telah mencecah hampir satu bilion ringgit, selain dari wakaf dan berbagai-bagai sumbangan kewangan untuk masyarakat Islam. 

Negara-negara Teluk yang kaya dengan minyak, mempunyai ribuan jutawan, malah billionair, yang sekiranya mereka mengeluarkan zakat, jumlahnya tentu meningkat kepada berbilion dolar Amerika, dan harta zakat ini dapat dipusatkan serta diuruskan dengan bijak, maka jumlah harta modal yang besar itu tentulah akan mampu membangun ekonomi dan kekuatan umat Islam, bukan hanya di Timur Tengah, tetapi bagi semuja negara Islam di dunia ini yang masih miskin, bergantung nasib kepada kuasa besar Amerika dan negara Barat.

Compassion haruslah ditakrifkan semula dalam konteks Islam, dan diterjemahkan dalam agenda pembangunan ekonomi ummah dengan segala ciri-ciri kebajikan, kekuatan, kesejahteraan, dan kesetabilan, berdiri sama tinggi dengan dunia maju dalam zaman moden ini.

Compassion bukan hanya untuk pahala peribadi dan untuk mati atau untuk akhirat sahaja, tetapi ianya adalah untuk hidup di dunia ini juga dengan segala elemen tamadun, ilmu, global dan universal, kerana Islam adalah agama untuk dunia dan akhirat, agama global dan universal, sarwajagat, kemakmuran dan keadilan....Malah Raullullah SAW adalah diutuskan Allah SWT untuk membawa risalahnya kepada umat manusia keseluruhannya...

Inilah semangat dan ruh Ramadhan sebenarnya yang harus dibina dan diperkembangkan dalam zaman moden ini...

Cuma yang harus difikirkan sekarang ini ialah bagaimanakah sedekah jariah, zakat dan wakaf, serta sumbangan para dermawan yang amat perihatin dalam konteks compassion ini dapat ditadbir uruskan supaya menjadi satu mekanisme untuk pembangunan masyarakat dan negara Islam umumnya, bukan hanya menjadi simbol keperihatinan untuk fakir miskin, anak yatim dan ibu tunggal sahaja seperti sekarang.

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....