HARI KE-16 PUASA: IBADAT PUASA BUKAN SATU ILUSI....

16 RAMADHAN 1434


Menjelang hari ke-16 puasa hari ini, ingin saya mengajak umat Islam, sekurang-kurangnya di negara kita mengkaji sedikit tentang usaha pihak lain yang cuba mencari keharmonian di antara dua pendirian yang sering bertentangan mengenai kepentingan agama dan Tuhan, dan persoalan apakah agama dan Tuhan masih relevan pada masa kini, iaitu kita cuba meninjau perdebatan di antara dua orang sarjana, yang telah dibukukan bertajuk Is God an Illusion? (Adakah Tuhan itu Satu Ilusi?)


Ilusi ialah kata pinjaman dari bahasa Inggeris illusion: bayangan, khayalan, maya, kepercayaan palsu. Ahli sains, khususnya ahli fizik, yang memandang alam ini dari kacamata pengamatan fizikal dan teori matematik semata-mata, akan melihat bahawa ibadat yang dilakukan dalam agama, adalah satu ilusi, iaitu khayalan dan kepercayaan karut.

Maka dalam konteks puasa Ramadhan ini pun mereka akan melihatnya sebagai satu amalan sia-sia, malah agama itu secara keseluruhannya, temasuk Tuhan, adalah satu ilusi, sama seperti konsep agama dan Tuhan pada tanggapan orang yang tidak percayakan Tuhan,(atheist) yang dianggapnya sebagai madat atau candu bagi orang-orang yang mengamalkannya. 

Golongan yang tidak percayakan Tuhan akan membuat teorinya sendiri bagi menolak kepercayaan kepada agama dan Tuhan, bahawa orang-orang yang percayakan Tuhan adalah merupakan orang-orang yang sakit jiwa, iaitu apabila mereka menderita kegelisahan kerana berputus asa umpamanya, maka keadaannya sama lah dengan seorang  penagih, iaitu mengambil agama untuk menghilangkan rasa kegelisahan dan rasa giannya  buat sementara waktu sahaja.

Oleh itu dalam suasana dan keadaan sekarang, ketika orang mulai berbicara semula mengenai kepentingan agama, dan sama ada agama itu masih relevan atau tidak dengan masyarakat moden, kita orang-orang yang berpegang kuat kepada agama, terutamanya agama Islam sendiri, dan kita yang yakin dengan kewujudan Tuhan, haruslah mempunyai strategi yang penuh dengan ilmu dan hikmah, bagaimanakah seharusnya kita memprojekkan agama kita dan ajarannya yang holistik, membuktikan kewujudan Allah SWT dan kekuasaan-Nya yang mutlak dalam mencorakkan perjalanan dunia dan akhirat mengikut konsep kesejahteraan manusia dan ketamaddunannya dalam dunia global hari ini.

Cara untuk menjelaska konsep agama dan Tuhan melalui world view Islam ialah dengan menggabungkan tenaga dan pemikiran kepelbagaian disiplin ilmu ketika berusaha dan bekerja bagi memahami agama dengan jelas melalu multi disiplin, atau kepelbagain bidang ilmu. 

Dua orang sarjana Barat ketika membicarakan tajuk Is God An Illusion, iaitu Deepak Chopra  (Kerohanian) dan Leonard Mlodinow (Ahli Fizik) telah mengemukakan hujah dan pandangan ilmiah mereka tentang ketuhanan melalui world view masing-masing dengan harmonis dan amat serasi sekali, sehingga akhirnya hasil dari perdebatan mereka, Jay Marx, Executive Director, Laser Interferometer Gravitational-wave Observatory (LIGO) Laboratory, Caltech, telah memberikan pengakuannya yang amat positif tentang keharmonian antara ahli fizik dan kerohanian tersebut dalam kenyataannya yang berikut:

"We physicists are concerned with observations of the physical universe and the mathematical theories that explain them. Others seek enlightenment through a focus on subjective experience. In this book these approach meet, often throwing off sparks, occasionally agreeing, and always remaining both illuminating and entertaining" (Published 2012 by Rider)

Kedua-dua pembicara tentang tajuk ini yang mewakili ahli fizis dan kerohanian telah berjaya mengemukakan pandangan yang nampaknya telah memberi kepuasan tentang kewujudan Tuhan dari sudut kebendaan dan kerohania.

Oleh itu kita orang-orang Islam haruslah mempelajari teknik dan kaedah perdebatan ini secara saintifik ketika mengemukakan hujah dan bukti tentang kewujudan Tuhan, kepentingan amalan kerohanian dan fizikal dalam agama, termasuklah dalam ibadat Puasa yang seharusnya tidak hanya menekankan 100% tentang kerohanian semata-mata, tetapi akan menganalisa juga kesan ibadat ini terhadap fizikal dan biologi manusia, jiwa dan minda serta hati nurani manusia sendiri yang terdiri daripada jasmani dan rohani, jasad dan jiwa, yang dalam masa yang sama akan mewujudkan generasi manusia yang akan menempa kesejahteraan dan ketamadunan dunia ini pada masa kini dan masa yang akan datang.

Kalau hal ini dapat dilakukan dengan baik, maka keyakinan manusia Barat dan Timur tentang kebenaran agama dan kewujudan Tuhan akan muncul semula, mengatasi pandangan dan segala justifikasi oleh pihak golongan yang tidak percayakan Tuhan tentang kewajaran dan rasionaliti mereka.

Fikir-fikirkanlah wahai saudaraku Muslim ketika kita memasuki hari puasa tahun ini yang ke-16....



Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....