RAMADHAN HARI KE-4 : BICARA CINTA
4 RAMADHAN 1434
Ramai para perantau dari bandar, terutamanya bandar besar seperti Kuala Lumpur, yang pulang ke kampung menjelang cuti hujung minggu ini bertujuan untuk menghabiskan waktu dengan ibu bapa dan keluarga, berbuka puasa, bersahur, ke surau atau ke masjid bersama-sama.
Tidak ada masa yang semanis dan semesra detik yang dirasakan oleh anggota keluarga daripada masa berpuasa, berbuka, bersahur dan berbual-bual dalam bulan Ramadhan yang berkat ini dengan orang-orang tersayang, yang termasuk dalam kisah cinta manis antara manusia.
Permulaan yang baik sekiranya dirancangkan dalam bulan Ramadhan ini, iaitu mengunjungi orang yang tersayang dan tercinta, sekurang-kurangnya setahun sekali atau dua, iaitu ketika bulan Ramadhan dan Hari Raya, merupakan saat dan ketika yang amat manis dalam kehidupan kita. Hal ini sering menggembirakan perasaan dan mental kita, melupakan saat-saat dukacita atau gangguan emosi yang sering dialami manusia ini.
Namun begitu, mungkin tidak semua orang yang terkenangkan orang yang dicintainya itu mampu untuk mengunjungi orang yang tercinta itu. Mungkin tekanan kerja, kewangan, jarak perjalanan dan masa, sering menghalang seseorang itu dari menemui orang yang tercinta secara bersemuka.
Namun begitu, saya mula juga terfikir, sekiranya kita tidak dapat menemui orang yang kita sayangi itu sekali pun, mengapa tidak kita mengambil sedikit masa pada setiap hari untuk mengenangkan orang yang kita sayangi itu? Kenapakah tidak kita kenangkan orang tersayang itu setiap hari dalam ingatan kita? Ibu bapa, adik-abang, sanak saudara, malah orang luar juga, supaya cinta kasih kita terhadap mereka sentiasa dibaharui dan digilap dengan baik.
Bila mengenangkan ibu atau bapa yang kita cintai, dengan segala kebaikan dan kelebihan yang ada pada mereka, maka kita juga dapat mengingatkan kebaikan ramai lagi orang yang kita sukai, sama ada mereka itu keluarga sendiri, atau orang-orang yang baru kita kenali, malah mungkin juga anak-anak dan kanak-kanak yang comel yang amat menarik perhatian kita, dan menyejukkan hati kita mengenangnya.
Oleh itu, setiap orang mungkin boleh mengambil masa sejenak, beberapa minit umpamanya pada waktu pagi, atau pada waktu malam, ketika berbaring untuk melelapkan mata, mengenangi orang-orang yang mereka kasihi dan cintai.
Hal ini menimbulkan fikiran dan minda positif dalam diri kita, yang menjadi satu elemen yang dapat menghilangkan segala tekanan dan stress yang mungkin mengganggu kehidupan dan kesihatan kita.
Ramai orang yang tidak terlintas untuk mengenangkan cinta kasih orang yang tersayang, malahan lebih suka mengenangkan orang-orang yang mereka benci dan jelek dengan perbuatan, pakaian, pertuturan, gaya hidup dan sebagainya yang tidak disukai mengenai orang itu.
Kenangan ini amat negatif dan sering menimbulkan pemikiran yang tidak baik terhadap orang lain, sehingga kadang-kadang kita memandang semua orang membenci kita, atau semua orang harus kita benci dan jadikan musuh.
Oleh itu cubalah membuat keputusan, bahawa pada setiap pagi, atau malam, kenangkanlah orang-orang yang kita cintai. Pejam mata, tarik nafas, dan kosongkan kepala kita dari segala pemikiran negatif, dan tanyalah diri kita : Siapakah agaknya yang akan ku kenangkan hari ini diantara orang-orang yang dikasihi dan disayangi?
Pada masa itu tentulah banyak wajah orang-orang tersayang yang akan terbayang dan muncul di dalam ingatan kita, lalu dapatlah juga kita menghantar ucapan kasih sayang kepada mereka, pesanan, sms, faks, whatsApp, email, FB dan lain-lain dengan penuh riang dan senyum ketawa juga.
Ketika saya melakukan hal ini sebagai pengalaman saya sendiri, saya merasakan kenangan manis itu kekal dengan saya agak lama sepanjang hari itu, dan bayang-bayang orang yang memusuhi saya mulai lenyap dan hilang dari ingatan saya lagi.
Ayat 31 Surah Ali-Imran, yang sering dibacakan oleh generasi lama dulu untuk membuat ayat pengasih kononnya, sebenarnya bukan untuk memancing kasih dari gadis, tetapi ayat itu ialah untuk menyatakan kasih cinta kepada Allah SWT. Ayat tersebut bermaksud begini: "Katakanlah (Wahai Muhammad) jika benar-benar kamu cintakan Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah akan mengasihi kamu, serta mengampunkan dosa-dosa kamu, dan (ingatlah) Allah amat pengampun, lagi amat mengasihani"
Cinta dan kasih sering diikuti dengan ampun maaf dan kasihan sesama sendiri...malah kasih sayang dan kemesraan dengan orang lain..
Ada juga orang menyebut bahawa cinta itu ada kalanya amat mudah diperolehi, digarapi dan dirasakan kemanisannya, tetapi dalam begitu banyak cinta, maka tidak banyak pula cinta yang dapat bertahan lama, kekal manis dan bahagia.
Oleh itu, ketika kita memupuk cinta dengan kaum keluarga, sanak saudara dan sahabat taulan semasa berbuka puasa, malah ketika sama-sama menunaikan ibadat sembahyang sunat terawih, maka latihkanlah diri untuk menekmati rasa kasih sayang dan kemesraan itu, supaya perasaan murni itu kita jalinkan demi Allah pencipta kita dan demi persaudaraan sedarah sedaging, sesama agama, malah sesama bangsa dalam sebuah negara.
Cuba khususkanlah satu masa tertentu setiap hari untuk mengingatkan kemesraan dan kecintaan kita kepada orang yang kita kasihi, baik yang masih bernafas bersama-sama kita, atau yang sudah meninggalkan kita buat selama-lamanya, tetapi kemanisan dan kelazatan kasih sayang mereka tetap hidup terus menerus bersama kita.
Itulah cinta dan kasih sayang yang ikhlas, abadi dan bakal hidup subur bersama kita selagi nyawa dikandung badan, dan selagi kita dapat menghargai cinta itu.

Comments
Post a Comment