PUASA HARI KE-18: FOOD, FOOD EVERYWHERE....
18 RAMADHAN 1434
Masa kami adik beradik kecil-kecil dulu, dalam bulan puasa begini kami merayau-rayau pada siang hari mencari bermacam-macam buah untuk makan selepas buka puasa. Dalam kampung yang ada hanyalah buah jambu, nam-nam, ciku dan buah mempelam saja. Itu pun kami kumpul, namun bila lepas buka puasa tak larat lagi nak makan, buah yang nampak amat sedap dan melelehkan air liur siang tadi, menjadi masam atau kelat, tidak sedap lagi.
Sekarang tidak begitu lagi, dalam bulan puasa masa kini, emak bapa yang berusaha mengumpulkan makanan untuk buka puasa, terutamanya di bandar kecil dan besar, ketika para peniaga berlumba-lumba berniaga macam-macam makanan dan kuih-muih di pasar Ramadhan.
Berbuka puasa di kurun 21 ini pula bukanlah seperti kurun 20 dulu, kerana sekarang ini dalam bulan puasa perusahaan makanan dan minuman, restoran dan hotel, telah menjadikan bulan puasa ini sebagai satu bulan bisnes yang besar.
Sebulan sebelum puasa lagi, promosi bufet Ramadhan telah naik di sana sini, di restoran mamak dan Melayu, restoran Cina pun berusaha mendapatkan sijil Halal. Malah Hotel tentulah berlumba-lumba memperomosikan makanan hidangan berbuka, dari Timur Tengah, Asia dan sebagainya, dengan harga sekepala melebihi seratus ringgit.
Tetapi kita tidak lah seharusnya terus marah-marah kepada orang Islam yang berpusu-pusu berbuka puasa di hotel dan restoran, kerana mereka ke sana kadang-kadang ada tujuan yang baik, menjamu sanak saudara, kawan rakan, dan lebih dari itu ada juga yang membawa anak-anak yatim dan fakir miskin untuk setahun sekalu menjamu selera di hotel besar.
Pendeknya makanan memang banyak sekali, melimpah ruah, di mana-mana, dan tentulah di bandar dan di kampung juga pada masa sekarang ini. Malah di masjid dan surau pun makanan banyak sekali untuk berbuka puasa dan jamuan selepas terawih yang dikenali sebagai moreh. Surau dan masjid menerima kunjungan para musafir, pekerja asing, juga jemaah tempatan, terutamanya orang-orang bujang, atau kelamin yang hanya tingga berdua sahaja, untuk menjamu selera berbuka di tempat ibadat itu dan mengadap makanan moreh selepas terawih..
Di hotel dan restoran pun sebenarnya orang Islam boleh bersembahyang, sama sahaja seperti di surau atau masjid. Orang bisnes amat berfikiran strategik, iaitu orang Islam bersembahyang selepas berbuka, maka hotel besar dan kecil kadang-kadang menyediakan ruang yang lebih untuk sembahyang dalam bulan puasa ini.
Pernah jiran saya yang agak berada telah menempah sebuah rumah anak yatim untuk datang ke surau kami berbuka puasa, tetapi rumah itu menjawab bahawa anak yatim rumahnya "fully book" sampai lepas bulan Ramadhan, seperti tetamu VIP pula. Tiap-tiap petang mereka telah ditempah untuk berbuka puasa di restoran atau rumah orang dan juga surau tertentu, dan mereka bukan hanya diberi makan, malah disedekah pula sumbangan wang Hari Raya. Anak-anak yatim ini memang menunggu saja kedatangan bulan puasa, bulan rahmat dan berkat ini!
Itulah saya katakan, makanan banyak di sana sini, mewah dan makmur, siapa-siapa saja yang tak mahu masak di rumah sepanjang bulan Ramadhan ini, bolehlah berpusing daerah atau bandar, masjid dan surau di sana sini, kalau pusing 30 buah masjid bererti cukuplah sebulan dia makan free, dan makanan yang paling sedap ialah makan free!
Memanglah ketika mewah ini eloklah makan dan minum, dan makan minum ini pun terserahlah kepada diri masing-masing untuk mengawalnya, kerana dalam agama kita pun orang semua tahu hadis Nabi yang mengatakan bahawa "Kami umat ini tidak makan kecuali bila merasa lapar, dan kalau makan pun, kami tidak mersa kenyang"! bukan makan terus, lapar atau tidak lapar, dan makan lagi walau pun dah kenyang!
Yang pentingnya kita banyak makanan. Makanan ada merata-rata tempat, rumah orang perseorangan pun ada jamu, wakil rakyat, para menteri, PM dan TPM , Datuk Bandar, MB dan KM, orang politik pun sama, cuma tak taulah mereka politikkan buka puasa atau tidak, wallahu a'lam! Tapi semuanya harus jemput orang buka puasa dan makan banyak-banyak. Itulah namanya rezeki.
Itulah yang membezakan puasa kurun 20 dulu dengan puasa kurun 21 sekarang. Dulu lepas bulan puasa ramai orang yang jadi kurus, tetapi puasa kini menjadikan orang semakin gemuk. Dulu kami cari buah jambu dan ciku saja, tetapi puasa kini orang makan anggur dan epal berkualiti dan mahal. Dulu makan ikan kering dan pekasam serta telur masin, tetapi makan sekarang lebih kepada Nasi Arab, kambing, udang dan ketam besar, KFC, MacD, atau sekurang-kurangnya nasi briani restoran mamak.
Syukurlah sekadar apa yang ada. "Demi sesungguhnya kalau kamu bersyukur maka akan Aku tambahkan lagi nekmat-Ku kepada kamu, dan sebaliknya kalau kamu kufur, sesungguhnya azab Aku amatlah pedih" Surah Ibrahim ayat 7.
Yang harus difahamkan di sini ialah apakah maknanya bersyukur itu, dan apakah maknanya kufur itu. Bukalah tafsir...
Comments
Post a Comment