2 SYAWAL 1435 HARI RAYA KEDUA
POLITIK DAN KEPENTINGAN AGAMA BANGSA..
Hari ini bila berbincang tentang cadangan pertukaran MB Selangor, terlalu banyak polimik yang terjadi. Yang paling menarik mungkin tentang perpecahan yang akan berlaku di dalam PR, yang dikatakan bahawa PAS akan menarik diri dari PR.
Sebagai bukan orang politik yang aktif dalam mana-mana parti politik di negara kita, saya rasa alasan terakhir ini merupakan satu percubaan bagi menarik perhatian orang ramai tentang isu kepartian dan perebutan kuasa, terutamanya dalam PRU yang akan datang, yang merupakan agenda "jalan ke Putrajaya"
Sememangnya hal ini penting bagi orang-orang yang menerajui parti politik, kerana apa-apa sahaja agenda parti, matlamatnya ialah untuk merebut kuasa pemerintahan.
Namun bagi majoriti bangsa dan rakyat keseluruhannya, saya rasa dalam situasi sekarang, ketika semua dunia sedang berkonflik, berkerisis, polarisasi kaum, agama, dan budaya serta lain-lain lagi menjadi seperti duri dalam daging, yang hanya menunggu masa untuk meletup dan memarakkan api pergaduhan, keganasan dan pertempuran berdarah, saya rasa rakyat Malaysia haruslah memberikan keutamaan, di antara perimbangan berikut: akan meletakkan kepentingan parti politik partisan, atau politik sihat untuk kepentingan bangsa, negara dan agama di atas segala-segalanya? Atau merangka agenda politik untuk kesejahteraan dan pembangunan negara yang berasaskan tamdun serta peradaban universal bagi Malaysia?
Apakah landasan perjuangan politik jangka panjang yang seharusnya menjadi agenda perjuangan rakyat Malaysia keseluruhannya, atau pun langkah fanatik berdasarkan agenda perjuangan politik rakyat taksub, partisan, perkauman dan radikal?
Jalan mana satukah yang lebih relevan bagi negara Malaysia dalam keadaannya sekarang, dengan Perlembagaan dan Rukun Negaranya, serta dasar negara yang telah sedia ada dengan segala keunikannya untuk negara ini?
Pandangan peribadi saya ini hanya untuk menjadi pemikiran rakyat keseluruhannya, terutamanya dalam bulan raya ini, yang amat penting bagi umat Islam bermuhasabah diri....
Comments
Post a Comment