PUASA HARI KE TIGA 1435




ADA MASALAH...?

Ya, semua orang ada masalah. Masalah pula datangnya dalam berbagai ukuran, seperti kasut di kedai, ada yang kecil, sederhana dan bersaiz besar. Masalah bagi seorang itu pun ada yang amat besar, sedang dan masalah kecil sahaja. 

Namun apa-apa masalah yang kita alami sekali pun, masalah itu sering menemani kita, kadang-kadang siang dan malam, pagi dan petang, menganggu kerja dan masa rehat kita. Semakin kita berusaha mengatasi masalah itu maka semakin kelihatan bahawa masalah itu semakin menghimpit kita, dan menambahkan stress pula.

Puasa sebenarnya mendidik kita untuk menangani dan mengurus masalah kita itu. Lapar dan dahaga adalah satu masalah. Mengantuk ketika sedang bekerja di pejabat atau di tempat lain kerana kekurangan tidur pada waktu malam juga adalah satu masalah.

Oleh itu kita segera mengenal pasti masalah itu, dan segera kita menguruskannya, malah menerimanya sebagai satu hakikat dalam hidup kita yang seharusnya dicarikan penyelesaiannya, iaitu besabar dan menunggu masa yang tertentu ketika masalah itu akan dapat diselesaikan. Lapar dan dahaga akan dapat diselesaikan bila tiba waktu berbuka...

Ertinya dalam keadaan ini kita seharusnya mengenal pasti apakah masalah yang mencabar kita, kemudian kita cuba meyakinkan diri kita bahawa masalah ini adalah merupakan sebahagian dari kehidupan kita sebagai asam garam kehidupan, maka pada masa itu kita merasa beban kita semakin kurang, dari pada hanya memikirkan tentang masalah yang menyiksa kita itu.

Fikirkan tentang masalah yang sedang anda perangi itu sekarang, dan lihatlah bagaimanakah anda berusaha menghapuskannya, maka ketika itu mungkin dia akan menhimpit dan menindas minda dan perasaan anda seterusnya tanpa mendapat penyelesaian.

Sekarang ketika kita berpuasa, fikirkanlah masalah yang kita hadapi dalam menunaikan ibadat ini, melihat orang berbuka puasa dengan mewah di hotel membawa anggota keluarga, tetapi hal ini menjadi masalah kepada kita kerana kita tidak mempunyai wang yang banyak seperti mereka. Oleh itu anda mungkin juga berfikir untuk mencari wang yang cukup dalam persaingan ini, maka anda tidak akan mendapat penyelesaian yang cepat, dan anda merasa masalah itu tidak akan hilang dari kehidupan anda seterusnya.

Tetapi sekiranya anda mengambil masalah itu sebagai satu bahagian dari kehidupan anda, meresapkan perasaan sugul dan dukacita itu ke dalam minda dan hati nurani sndiri, maka anda akan merasa bahawa masalah itu adalah sebahagian dari kehidupan manusia di dalam dunia ini, dan penyelesaian yang hendak dilakukan juga merupakan satu perjuangan hidup yang seharusnya dilaksanakan dengan tabah, sabar, ikhtiar, serta berfikir dan belajar dari pengalaman bagaimanakah hendak mengatasi masalah itu.

Sebulan berpuasa, meletakkan kita dalam satu keadaan yang boleh kita namakan "masalah" hidup yang perlu digarap dan dihayati, kemudian mempelajai bagaimanakah mengatasi masalah itu dengan kaedah dan cara yang tertentu.

Sebab itulah dalam bulan puasa disunatkan sangat kita bersahur, kerana sahur dapat mengatasi sedikit masalah kelaparan waktu esoknya. Berbuka dengan sederhana, menunaikan sembahyang terawih - yang agak meletihkan juga - untuk mencergaskan badan dan minda, yang juga merupakan satu penyelesaian bagi masalah kita.

Tetapi tidak lah semua masalah yang dapat diselesaikan dengan kaedah yang satu seperti ini, kerana setiap masalah haruslah diselesaikan dengan caranya yang tersendiri, cuma keadaan mental, emosi, pemikiran dan kaedah penyelesaian itulah saja yang mungkin sama, iaitu menyedari kewujudan masalah, mengenal pasti masalah itu, dan mengkaji bagaimana kah mencari penyelesaiannya.

Itulah diantara kaedah yang dipelajari dari ibadat puasa...




Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....