PUASA HARI KE ENAM BELAS 1435


DUGAAN PUASA............

Kita berpuasa tahun ini dalam cuaca panas. Orang kampung saya selalu berkata kepada saya semasa saya kanak-kanak bahawa puasa dalam cuaca panas ni banyak pahalanya, kerana cuaca panas menjadikan kita lebih sabar dan tabah melawan cabaran puasa!

Memang pun begitu, jadi untuk memujuk kami kanak-kanak supaya tidak membuka puasa sebelum waktunya, maka mereka kata kami dapat banyak pahala. Kami pada masa itu pun memang perihatin dengan amal ibadat kerana mengharapkan pahala dari Allah, satu motivasi yang amat baik bagi generasi Y ketika itu, yang mungkin generasi sama pada hari ini mentalitinya agak berbeza dari generasi kami..

Dulu kami tak banyak mendengar ceramah dan tazkirah dari ustaz ustazah seperti sekarang. Kami hanya mendengar sedikit sebanyak nasihat dari pak haji dan pak lebai kampung, atau orang-orang tua kampung yang tidaklah punya ijazah universiti. Namun dalam keadaan begitu pun kami tahulah dosa pahalanya, sembahyang puasa dan menghormati orang tua serta jiran tetangga masing-masing.

Sekarang ini yang saya rasa sepatutnya generasi muda seharusnya lebih bersikap sopan santun serta beradab dan bermoral di dalam masyarakat, malah sepatutnya lebih berilmu dan berhikmah, kerana pada masa kini mereka sering didedahkan dengan nasihat dan ceramah agama, tazkirah pagi, petang dan malam, dan di dalam bulan puasa ini pula terdapat kuliah-kulliah dari ustaz dan ustazah yang berstatus selebreti, malah mengatasi para artis dalam masyarakat.

Apa-apa pun yang kita alami dan saksikan di dalam masyarakat kita ini, termasuk di dalam bulan Ramadan yang mulia, sesungguhnya amat banyak cabaran yang melanda masyarakat kita, iaitu dari segi penyelewengan moral dan akhlak, membawa kepada segala macam umpatan dan fitnah di dalam media sosial, media cetak murahan, facebook dan sebagainya yang nampaknya penuh dengan cacian, umpatan, kata-kata yang kasar dan biadab.

Bagaimana pun kita merasa bersyukur juga, kerana peluang memperbaiki diri, menambah ilmu kerohanian, mempelajari ajaran agama, bacaan al_quran dan sebagainya amat luas terbuka peluangnya di mana-mana sahaja, tidak seperti pada zaman saya, yang tidak sangat mengenali ustaz atau ustazah seperti sekarang.

Jadi kalau pada zaman saya kecil dulu, cuaca panas hanyalah merupakan satu-satunya cabaran puasa bagi kami, tetapi sekarang ini cabaran itu menjadi semakin hebat dan banyak sekali, termasuk ketika berada di atas jalan raya ketika para pemandu memandu kenderaan dengan kasar dan tidak menghormati peraturan, para penunggang motosikal menemui kemalangan, malah membawa ke dalam rumah ketika telefon bimbit, i-pad, komputer dan sebagainya menjadi permainan harian anak-anak sekarang....

Lain padang lain belalang, lain zaman, lainlah pula cabaran yang dihadapi..  

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....