PUASA HARI KE DUA PULUH SATU 1435



BUKA PUASA DI IPB Kg Pandan KL dan IDIP Pengkalan Chepa KOTA BARU..

Berbuka  di luar lebih baik dari segi interaksi sosial dan ruh kebajikan serta semangat persaudaraan Islam. 

Pada hari ke-21 puasa, 19 Julai 2014, saya bertolak ke Kota Bharu, Kelantan, untuk berbuka di Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP), atas sifat saya sebagi Pengerusi Institut tersebut.

Sehari sebelum itu, atas nama Pengerusi juga, saya berbuka puasa bersama kakitangan Akademik dan Pentadbira serta para pelajar Institut Profesional Baitulmal (IPB), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, di bangunan IPB, Kg. Pandan.

Dua hari tidak berbuka dengan para jemaah di Surau Al-Manar, Presint 14 Putrajaya, tempat kediaman saya, yang selama ini menjadi tempat istimewa para jemaah sekitar Presint 14 dan 15 berbuka, berjemaah serta bermoreh dengan penuh semangat silaturrahim, diikuti dengan tadarus al-Quran.

IPB mempunyai staf akademik dan pentadbiran serta pelajar yang semuanya berjumlah lebih dari seribu orang. 

Kelebihan dan manfaat yang dinekmati para pelajar IPB ialah pemberian bantuan wang dari Baitulmal atas asnaf zakat, dan diberikan kepada pelajar dari keluarga yang berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan yang merupakan pendapatan had kipayah, termasuk dalam salah satu asnaf yang boleh menerima zakat.

Bersama staf dan pelajar inilah saya berbuka puasa dengan penuh rasa syukur pada 18 Julai, dan berjemaah sehingga selesai terawih.

Pada hari esoknya, 19 Julai bertolak dengan MAS (MH 1396) dari KLIA ke Kota Bharu untuk berbuka puasa dengan staf dan pelajar IDIP.

Alhamdulillah, MH 1396 selamat mendarat di Kota Bharu dan, apabila tiba masa, saya terus ke Dewan berbuka puasa di Kompleks Islam Jubli Perak, Kota Bharu.

Staf dan pelajar IDIP berjumlah sekadar 120 - 130 orang saja. Namun dari segi objektif pelajaran dan pembelajaran Institut ini, fokusnya ialah menyampaikan pengajaran tentang kefahaman Islam dan kebaikannya bagi membangunkan manusia sejagat melalui ajaran Islam.

Majlis berbuka ini menjadi lebih bermakna kerana di hadiri oleh Yang Berhormat Mulia Tengku Temenggong Kelantan dan Yang Mulia Tengku Puan Temenggong Kelantan, yang telah menyampaikan sumbangan kepada para pelajar IDIP dan sebilangan anak yatim selepas selesainya Terawih berjemaah dengan keluarga diraja itu. Amat istimewa dan tinggi nilainya dalam pengisian Ramadan yang penuh berkat ini.

Sebelum majlis berbuka, dua orang pelajar IDIP, seorang lelaki dan seorang wanita, telah berkongsi pengalaman yang amat menarik tentang sejarah dan pengalaman mereka berdua ketika memilih untuk memeluk agama Islam. 

Pelajar lelaki dengan nama Islamnya, Yusuf, memasuki Ramadan kali ketiga dalam hidupnya setelah memeluk Islam.

Dia pada mulanya selesa dengan agama asalnya, Kristian, malah mempunyai rasa negatif tentang Islam, kerana pada masa itu dia hanya mengenali "Muslim" dengan segala gambaran orang Muslim yang tidak menarik perhatiannya. 

Tetapi kemudiannya dia mendapat hidayah untuk memeluk Islam setelah dia mengenali "Islam" sebagai satu agama yang lengkap, bermula melalui interaksinya dengan teman Muslim yang berilmu dan berhikmah. Dia menjadi amat terbuka dan positif dengan agama Islam setelah mendapat world view Islam yang sebenarnya. Inilah maksudnya bahawa setelah mengenali "Islam" dia memeluk Islam, kerana dengan hanya mengenali "Muslim" dia tidak tertarik dengan agama Islam...

Pelajar wanita yang berkongsi dalam program "Sharing Moment - bersama pelajar IDIP" yang dimulakan pada jam 7 sebelum berbuka puasa, ialah Nor Fathyiah, keturunan Iban dari Sarawak, yang pada asalnya amat kuat dengan ajaran Katholik.

Dia ditakdirkan bekerja di syarikat kepunyaan Melayu Islam, dan keseluruhan pekerjanya juga adalah orang Islam, sehingga akhirnya dia tertarik dengan Islam, apabila dia dapat berdialog dengan seorang pemeluk Islam juga,  tentang Allah yang menjadi "pemilik" alam dan manusia ini.

Dia berjaya mendapat gambaran dan kefahaman yang tepat tentang Islam dan ajarannya, setelah meyakinkan dirinya tentang bumi yang dihuninya ini adalah kepunyaan Allah.

Kedua-dua pelajar ini membuka minda orang Islam sendiri, bahawa mereka mendapat hidayah dan petunjuk Allah untuk menganut Islam, kerana mendapat ilmu dan hikmah dari Islam itu sendiri hasil dari sedikit panduan pemikiran dan analisis mereka terhadap Islam sebagai satu agama tamadun dan cara hidup yang lengkap untuk dunia dan akhirat, yang amat sukar mereka temui dalam penghayatan Islam di kalangan sebilangan umat Islam sendiri, yang lebih banyak menimbulkan kesan negatif kepada mereka.

IPB dan IDIP melalui majlis buka puasa dalam masa dua hari ini berjaya memberikan gambaran yang berbeza tentang komposisi pelajarnya yang berbeza, tetapi kesan keislamannya, agak sama, iaitu pelajar IPB yang mengambil pengajian bidang profesional, menghayati Islam melalui persekitaran dan penghayatan Islam dalam masyarakat IPB sendiri, sedangkan pelajar IDIP yang sebahagian besarnya terdiri dari pelajar orang asli, Sabah dan Sarawak juga luar bandar, menghayati Islam melalui program akademik mereka. 

Pengalaman ini amat menarik bagi kita di Malaysia terutamanya bagi orang Islam sendiri, yang seharusnya memahami beberapa dimensi penghayatan ajaran agama kita, yang pada pandangan kita hanya perkara biasa, tetapi sebenarnya perilaku dan penghayatan nilai agama Islam itu sendiri dalamkehidupan seharian umat Islam, amat memberi kesan kepada bukan Islam tentang nilai dan imej serta keunggulan agama Islam itu sendiri...

Renung-renungkanlah hal ini sempena kemasukan kita ke sepuluh hari akhir berpuasa Ramadan 1435 hijriah ini............. 

 

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....