PUASA HARI KE ENAM 1435
KITA PERLUKAN ORIENTASI BARU
Selama ini kita mengecam kesalah fahaman sebahagian umat Islam tentang perjuangan menegakkan agama, atau yang sering di katakan sebagai "jihad" untuk menegakkan ajaran Islam dengan mengambil jalan keganasan, seperti pembunuhan yang sedang berlaku di sebahagian negara Islam sekarang ini.
Pentafsiran yang salah tentang perjuangan menegakkan ajaran agama di gambarkan dengan jelas di negara-negara yang bergolak di Timur Tengah dan Afrika Utara pada masa kini, termasuk gerakan pembunuhan sesama Islam yang sebenarnya lebih banyak dilakukan atas dasar ideologi politik, bukan atas dasar agama itu sendiri. Tetapi perjuangan ini sering di labelkan sebagai perjuangan Islam.
Agama tidak memberikan sebarang justifikasi untuk bunuh membunuh sesama manusia, apa lagi sesama Islam sendiri, yang terang-terang bertentangan dengan akidah dan syariah serta nilai akhlak Islam sendiri.
Amat dukacita sekali hal ini berlaku terus menerus, telah berpanjangan, memakan korban nyawa yang banyak, memusnahkan bangunan kemudahan awam dan rumah kediaman warga yang tidak beerdosa, dan yang paling getirnya menghasilkan jutaan pelarian perang yang terpaksa melarikan diri dari negara sendiri, mencari perlindungan di mana-mana saja, malah kadang-kadang menjadi korban di dalam lautan.
Telah berapa tahun dalam bulan Ramadhan ini umat Islam tidak dapat melepaskan diri dari kerisis sesama sendiri, yang tentunya Ramadhan tidak memberikan sebarang pengertian khusyuk dan tawaduk lagi kepada umat Islam yang sepatutnya berpuasa dalam aman damai, mewah dan makmur, penuh persahabatan dan silaturr-rahim di antara sesama umat yang bersatu dalam akidah Allah dan naungan Rasulullah SAW.
Kita selama ini bersyukur kepada Allah SWT kerana daerah dan negara kita tidak pernah dijangkiti peristiwa dan kerisis pertumpahan darah akibat dari kesalah fahaman tentang agama itu.
Namun benar atau tidak, serius atau tidaknya kabar tentang penglibatan anak-anak muda kita dalam "jihad" di negara luar amat lah mengganggu dan merisaukan kita, bangsa dan umat yang selama ini nampaknya masih dapat bertahan dari kekeliruan dan kekalutan falasafah perjuangan Islam yang sebenarnya itu.
Anasir yang tidak sihat ini perlulah menjadi tanggung jawab kita semua umat Islam untuk memeriksa dan mencari fakta serta data yang sebenarnya, mengapakah hal itu berlaku kepada anak-anak muda kita dan kenapakah minda anak Malaysia yang selama ini agak bersih dari kekeliruan ini, tiba-tiba berubah dan bertukar menjadi minda revolosi serta perjuangan yang terlalu banyak kesamaran dan kekeliruannya itu?
Mungkin kita perlu sedar dari sekarang kenapakah minda dan falsafah orang Islam kita di negara kita ini juga harus terpengaruh dengan pentafsiran dan falsafah "perjuangan" Islam yang di bawa oleh pemikiran dan pentafsiran dari "luar" itu? Di manakah salah dan silapnya cara kita membesar dan membangunkan generasi muda Islam kita sehingga kan ajaran dan orientasi yang amat asing dari ajaran Islam sebenarnya itu juga telah termasuk ke dalam akal pemikiran anak muda umat kita sendiri?
Hal ini pastinay mengambil masa yang panjang untuk kita mengkaji dan mencari punca kesilapannya, tetapi kita haruslah memulakan usaha kita dari sekarang, yang tidak hanya melibatkan ahli agama, malah ahli psikologi, sosialogi, perundangan, akademik dan pengkaji masyarakat umumnya untuk memberikan penganalisaan yang selengkapnya.
Sementara itu marilah kita berdoa dalam bulan yang berkat dan mulia ini agar anasir-anasir yang nampaknya menyeleweng ini hanya berada dalam kalangan segelintir generasi muda kita, dan untuk waktu yang singkat sahaja, mudah-mudahan Allah SWT melindungi kita dan mensejahterakan umat kita ini buat selama-lamanya....Ameen, Ameen..
Comments
Post a Comment