PUASA HARI KE LIMA 1435



DENGAN RAHMAT ALLAH KAMU BERLEMBUT HATI KEPADA MEREKA


Allah SWT berfirman kepada baginda Rasulullah SAW yang bermaksud "Maka dengan kurniaan rahmat Allah, kamu berlembut hati dengan mereka. Sesungguhnya jika kamu bertindak kasar dan keras hati dengan mereka, nescaya mereka akan menjauhkan diri dari kamu"

Ertinya Nabi kita diajar oleh Allah SWT supaya sentiasa bertindak dengan lembut dan berhikmah terhadap para sahabat dan kaum Muslimin serta orang-orang lain di sekeliling baginda, agar mereka tertarik kepada baginda, kerana sebaliknya jika baginda bertindak kasar dan berhati keras dengan mereka, maka mereka akan melarikan diri dan menjauhkan diri dari baginda.

Inilah hikmahnya rahmat Allah yang dikurniakan kepada baginda, dan contoh inilah juga yang seharusnya menjadi ikutan kita orang Islam sekarang ini.

Hikmah ajaran yang diterapkan oleh ibadat puasa juga ialah nilai-nilai akhlak mulia ini yang seharusnya diikuti oleh umat Islam seluruhnya.

Di dalam bulan Ramadhan, semua orang mengetahui, bahawa satu ajaran penting yang sehaarusnya dihayati oleh orang-orang yang berpuasa, dan akan terus menerus dihayati sehingga menjadi satu prinsip akhlaknya seumur hidup, ialah menjauhkan umpatan, kejian, kekasaran, kecaman kepada orang lain, sama ada dengan lidah dan tindakan, pengucapan atau percakapan serta penulisan.

Menghindarkan fitnah dan dendam kesumat, umpatan dan menyangka buruk kepada orang lain, termasuk menabur fitnah dan membuka keaiban orang lain adalah merupakan satu dosa. 

Sedangkan Nabi seharusnya mengamalkan sikap berlemah lembut dan berhikmah dengan orang lain, maka betapa pula kita umat biasa, yang dikurniakan Allah emosi, nafsu. perasaan negatif dan bisikan-bisikan buruk dari syaitan, maka umat kita tentulah seharusnya lebih-lebih lagi menjaga tutur kata, penulisan dan perbuatan kita dari menjelma menjadi umpatan, kecaman, dan membuka keaiban orang yang tidak seharusnya didedahkan kerana merasa terhibur dengan kelakuan keji ini.

Hari ini ramai orang kita menggunakan media sosial, dalam segala bentuk dan jenisnya, untuk mengecam serta meburuk-burukkan orang lain, sama ada kawan atau lawan.

Malah perbuatan mengaibkan orang bukan hanya tertentu kepada batang tubuh manusia yang dibencinya tanpa sebab sahaja, malah apa-apa sahaja yang boleh mengaibkan negaranya, bangsanya, dan kaumnya, akan ditelanjangkan sehabis-habisnya tanpa usul pereksa, tanpa kepastian benar atau tidak.

Banyak peristiwa yang melibatkan negara kita yang dianggapnya sebagai memalukan negara ini, walau pun hanya kecil dan remeh, tetapi akan diperbesar-besarkan begitu rupa supaya orang luar turut sama membenci negara kita, mencaci bangsa kita, dan menghina kaum yang tertentu.

Hal ini amat bercanggah dengan ajaran agama dan budaya serta nilai murni bangsa kita sendiri.

Semoga puasa yang dilaksanakan dengan baik dan ikhlas kerana Allah akan dapat mendidik rakyat dan umat kita menjadi manusia yang bersopan dan beradab, berkeperibadian mulia dan bertamadun, supaya sentiasa mulut lidah, kalam dan pena, media lama dan baru, di elakkan daripada menjadi medan cerca mencerca, keji mengeji, umpat mengumpat, memalukan orang-orang lain tanpa kewajarannya.

Selamat berpuasa dan selamat mentarbiahkan badan, jiwa, minda dan persekitaran kita dari keaipan dan keruntuhan moral........


Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....