PUASA HARI KE DUA PULUH TUJUH 1435
HAMAS DAN FATAH........
Selama ini Palestin berada di bawah satu pemerintahan pihak berkuasanya, iaitu Gazzah dan Tebing Barat. Sebelum Pilihan Raya yang lepas, kedua-dua kawasan tersebut dikuasai oleh Fatah.
Tetapi di dalam Pilihan Raya yang lepas, Fatah berkuasa di Tebing Barat dan Hamas berkuasa di Gazzah. Pada mulanya, oleh kerana terdapat sedikit perbezaan ideologi politik dan pendekatan strategi agenda perjuangan masing-masing, maka Hamas dan Fatah telah terjebak dalam satu kerisis perjuangan dan kefahaman politik masing-masing sehingga berlaku konfrontasi, melibatkan konflik yang membawa kepada kekerasan dan mencetuskan konflik bersenjata juga.
Masing-masing saling tangkap menangkap, membawa kepada memenjarakan pihak "lawan" dan berbagai-bagai insiden lain yang menunjukkan perbezaan diantara keduanya seperti dua pihak yang bertentangan dan bermusuh.
Pihak Raja Saudi, Malik Abdullah, pernah memanggil persidangan damai di antara dua kumpulan ini, bertempat di istana baginda, yang berada di dalam kawasan Masjidul-Haram.
Dua kumpulan ini datang menyahut seruan baginda, dan dengan mengadap ke Ka'abah, kedua-dua pihak bersetuju berdamai dan melupakan perselisihan mereka, serta akan berjuang secara bersama atas nama Palestin.
Tetapi tidak lama selepas itu, apabila kedua-duanya balik semula ke Palestin, Gazzah dan Tebing Barat, setelah beberapa ketika berada dalam suasana aman, lalu berlaku lagi perselisihan.
Peluang ini sebenarnya telah di eksploitasi oleh Israel, iaitu dengan melebalkan Hamas sebagai pertubuhan pengganas, yang dikatakan sentiasa melepaskan roletnya ke kawasan Israel, maka terjadi banyak insiden yang digunakan oleh Israel untuk melakukan keganasan ke atas penduduk Gazzah di bawah pemerintahan Hamas, hinggalah ke masa kini, iaitu dengan tercetusnya pertentangan diantara Hamas dan Israel yang mengakibatkan bilangan korban yang banyak di pihak rakyat Palestin, dan memakan korban yang penting di pihak Israel, ketika tenteranya juga terbunuh, yang pada pandangan Israel sepatutnya pihak Hamas tidak akan mendapat sebarang peluang untuk mengorbankan tenteranya yang kuat itu, tetapi nampaknya Hamas mempunyai kekuatan yang agak luar biasa sehingga puluhan askar Israel terkorban akibat pertentangan bersenjata yang dilakukan oleh Hamas.
Hamas mungkin beranggapan, biarlah mereka terkorban semuanya, kerana mereka telah berjaya menandingi kekuatan Israel meskipun secara yang amat tidak seimbang, tetapi hal ini mungkin dapat mengajar Israel supaya tidak memandang ringan dan remeh (under estimate) terhadap kemampuan Hamas.
Oleh itu konflik bersenjata di antara Hamas dan Israel di Gazzah ini nampaknya akan berlarutan dengan lebih panjang lagi, terutamanya pada hari semalam pihak rakyat Palestin di Tebing Barat mulai bangun menunjukkan kebencian mereka terhadap Israel dan bersimpati dengan Hamas dan rakyat senegara dengan mereka di Gazzah....
Kita perhatikanlah perkembangan seterusnya dalam perjuangan rakyat Palestin di dua buah wilayahnya ini, dan akan kita lihat sedikit kegusaran Israel apa bila kedua-dua wilayah ini menjadi bergolak yang menuntut Israel supaya memberikan sedikit penghormatan kepada perjuangan rakyat Palestin yang diperhambakannya selama ini.
Kesimpulan dari perkembangan yang berlaku di Palestin dalam babaknya yang terakhir ini ialah bagaimanakah perselisihan sesama sendiri, iaitu di antara Fatah dan Hamas selama ini, telah banyak memberikan faedah kepada Israel dalam tektik penjajahannya, dan bagaimanakah dasar penjajahan Israel telah berjaya memecah belahkan dua buah pihak berkuasa Palestin sehingga mereka menjadi musuh yang ketat dan melupakan musuh bersama mereka, iaitu Israel.
Semoga rakyat Palestin dan pemimpin ke dua-dua golongan pemerintah Palestin ini akan membawa kepada perpaduan yang mampu memperkuatkan perjuangan mereka untuk menegakkan hak mereka di negara mereka sendiri.
Malah seluruh dunia Islam sendiri haruslah mempelajaari banyak pengajaran dari sejarah perjuangan rakyat Palestin ini dalam arena perjuangan masing-masing, di kawasan dan negara mereka masing-masing...Negara Islam terlalu banyak menghadapi kerisis kepimpinan dan perjuangan masing-masing, sehinga berlaku perselisihan dan perpecahan di antara mereka, yang selalunya di manfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh musuh mereka dalam agenda mereka melemahkan, malah kalau boleh, menghapuskan sama sekali perjuangan agama dan ummah Islam ini......
Kita sering mengaitkan dua puluh tujuh Ramadhan sebagai hari mencari Lailatul-Qadar, maka biarlah kita menemui malam yang berkat dan mulia itu dengan doa yang panjang dan khusyuk sekali kepada Allah SWT agar kita diberikan kekuatan bagi menegakkan kemegahan dan keagongan agama dan ummah kita dalam bulan Ramadan yang mulia tahun 1435 ini..
Comments
Post a Comment