PUASA HARI KE EMPAT 1435
DUA JALAN TERBENTANG DI HADAPAN....
Setiap orang Islam seharusnya faham bagaimana kah hendak mengetahui susunan surah di dalam Al-Quran untuk mencarinya dan mempelajari isi kandungan surah yang tersebut.
Cuba setiap orang mencari surah yang bernama "Al-Balad". Di dalam Al-Quran surah ini tertibnya atau bilangannya ialah surah yang ke-90, dimulai dengan ayat "Aku bersumpah dengan negeri (Mekah) ini" iaitu "Al-Balad" ertinya ialah Negeri, dan maksud negeri di sini ialah negeri Mekah tempat tumpah darah Rasulullah SAW.
Surah ini membawa perutusan yang amat penting, iaitu sumpah yang dilakukan atas nama kota Mekah tentang keadaan Nabi kita SAW yang sentiasa mengalami penindasan ketika jangka awal kebangkitannya dan seruannya kepada Islam.
Kita yang sedang menunaikan ibadat puasa yang masuk ke hari ke-4 pada hari ini dapatlah membayangkan kembali bagaimana kah kesusahan Rasul Agong kita menyampaikan ajaran Allah kepada kaum musyrikin yang serba ganas itu, dan bagaimana Nabi kita itu sentiasa berhati-hati dengan penuh hikmah menjalankan amanah dari Allah SWT.
Surah ini pada umumnya menceritakan perihal manusia yang serba kerdil, tetapi masih menderhaka kepada Allah dan Rasul-Nya, sedangkan mereka dapat mengalami sendiri betapa lemahnya mereka dan betapa tingginya pergantungan mereka kepada Allah SWT, tetapi kerana kesombongan dan sikap degil mereka, mereka seolah-olah menyangka bahawa tidak ada sesiapa pun yang melihatnya.
Puasa melatih manusia supaya sentiasa menanamkan keyakinan dan iman yang tinggi terhadap kekuasaan Allah SWT, dan betapa segala amalannya akan dihisab dan diberikan balasan serta ganjaran oleh Allah SWT.
Sebab itulah di dalam ayat 8 hingga 10 Surah ini Allah SWT berfirman kepada manusia "Tidakkah Kami telah menjadikan baginya dua mata, dan lidah serta dua bibir, dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan?"
Mata, lidah dan bibir merupakan sebahagian dari organ manusia. Sepasang mata sahaja telah memberikan kenikmatan dan nilai yang tinggi kepada manusia, untuk melihat dan memandang, manakala lidah mempunyai fungsi yang penting bagi insan, malah dua bibir juga memberikan kelebihan kepada makhluk yang bernama manusia ini.
Kita yang berpuasa mengetahui kepentingan lidah dan dua bibir, terutamanya ketika mengecap keenakan dan kelazatan makanan ketika berpuasa setelah berlapar dan dahaga sepanjang hari, dan mengetahu pula akan nikmat dua bibir ketika merasakan minuman dan makanan, panas, sejuk, manis, masin, masam, pedas dan sebagainya yang dapat dikecap dengan lidah dan bibir kita.
Tetapi ayat seterusnya menjelaskan tentang jalan yang terbentang di hadapan kita, iaitu dua jalan, yang manakah satunya yang membawa kita kepada kebahagiaan dan kecelakaan, kerana mata yang dikurniakan Allah SWT bukan hanya untuk melihat segala objek secara fizikal, malah mata haruslah menjelma menjadi mata hati untuk melihat dan memilih jalan-jalan yang membawa kepada keredhaan Allah SWT berdasarkan pandangan luaran dan dalaman, pandangan fizikal dan kerohanian, pendangan yang nampak nyata dan yang dapat dilihat melalui pandaangan minda dan akli manusia yang tajam.
Kita berpuasa, tentulah untuk memilih jalan kebaikan dari dua jalan yang dibentangkan di hadapan kita itu. Satu lagi jalan yang membawa kepada kejahatan akan kita elakkan. Kerana manusia seharusnya mengetahui dahulu arah dan tujuan serta destinasi yang hendak ditujunya sebelum memulakan perjalanan.
Pada waktu petang ketika kita akan kembali berbuka puasa dari pejabat atau tempat kerja, kita telah melihat dengan mata hati dan minda kita dulu akan jalan manakah yang tidak sesak, dan akan cepat membawa kita kembali ke rumah.
Demikianlah di dalam dunia ini kita telah diberikan pertunjuk oleh Allah SWT dan Rasul-Nya akan jalan manakah yang seharusnya kita pilih dalam menuju ke destinasi kehidupan kita yang akan berakhir pada satu hari nanti.
Belajarlah dari mata hati dan pemikiran minda yang sihat dan konsistan dari ibadat puasa ini untuk memilih jalan yang sempurna yang dapat membawa kita kepada kesejahteraan di dunia dan akhirat, yang ditunjukkan oleh Yang Maha Kuasa Allah SWT dan utusan-Nya, Rasulullah SAW..........
Ayat 10 surah ini memberikan pengertian "Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan (yakni jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhinya)
Maha Besarnya Allah SWT....
Comments
Post a Comment