PUASA HARI KE TUJUH 1435




DI MANAKAH KITA AKAN BERAKHIR...

Ketika Ramadhan memasuki hari ke tujuh pada hari ini, banyak kematian yang telah berlaku, dan demikian juga, banyak orang baru, bayi, yang lahir untuk menghuni dunia ini. 

Manusia pergi, dan manusia datang, untuk silih berganti meninggalkan dunia ini, dan kedatangan yang baru untuk menggantikan yang telah pergi, selama mana dunia ini belum berakhir, dan hari kiamat belum menjelma.

Ketika Ramadhan baru melangkah masuk ke hari ini, hari ke-7, kita melihat beberapa kematian berlaku di hadapan mata kita, atau di dalam pengalaman dan pengetahuan kita.

Baru pagi tadi, awal pagi ini, kita mendengar Sharifah Aini meninggal. Semalam, subuh Jumaat, seorang anggota keluarga, juga meninggal, minggu lepas seorang ahli keluarga meninggal, dan beberapa hari yang lalu, seorang kawan sekerja jemaah surau kami meninggal dunia, semuanya di dalam bulan puasa, disamping banyak lagi yang pergi di atas jalan raya seperti yang dapat kita baca dalam media.

Yang meninggal pula, maka kematiannya berlaku ditakdirkan oleh Allah SWT di dalam beberapa keadaan yang tertentu. Kawan sekerja yang meninggal, rebahnya ketika berada di pasar Ramadhan pada petang hari, sedang menunaikan kewajipan untuk mencari makanan bagi keluarga berbuka puasa. 

Ibi seorang anggota keluarga, meninggal ketika baring di atas katil, dengan kakinya sudah pun terjuntai, untuk benguna sahur agaknya. Arwah pada malamnya sempat berjemaah terawih dengan anak menantu, dan sempat dihantar ke tempat tidur setelah itu. Apa bila anak menantu pergi untuk mengejutnya bersahur seperti biasa dalam jam 5 pagi, arwah kelihatan masih nyenyak, terlalu nyenyak tiddurnya. Rupa-rupanya tidur yang terakhir, dia telah pergi buat selama-lamanya dalam bulan bail, Ramadhan, dan pada pagi yang baik juga, hari Jumaat semalam.

Suami cucu saudara, yang dalam perjalanannya ke tempat kerja, tiba-tiba jatuh sakit di dalam feri yang membawanya ke Pulau Pinang, dan sesampainya di seberang, dia telah pergi menyahut penggilan Allah SWT...

Tidak ada sesiapa yang mengetahui di manakah dia akan meninggal, seperti yang difirmankan oleh Allah SWT di akhir surah Luqman "Tidak ada seseorang pun yang tahu di bumi manakah dia akan mati" maka tidak mungkin di antara arwah, orang yang telah pergi menyahut panggilan Allah itu yang mengetahui di manakah hayatnya akan berakhir, malah Allah sahaja yang tahu, dan Allah sahaja yang memutuskan tentang masa dan tempatnya.

Keputusan yang dibuat oleh manusia di atas muka bumi ini, boleh dibantah, dikeritik, dikecam dan di benci, atau sebaliknya dijunjung, dipuji, dihormati dan ditaati. Hal inilah yang berlaku ketika pemerintah sesebuah negara membuat keputusan tentang satu-satu dasar, atau sebuah pertubuhan membuat keputusan, malah sesuatu kaum dan penganut agama membuat tindakan tertentu, semuanya boleh dibantah, atau disokong, atas dasar bahawa keputusan itu adalah keputusan manusia, dan "kita juga manusia, yang punya akal, punya pemikiran dan punya pertimbangan"...

Tetapi keputusan Allah SWT akan tetap berlaku, walau pun dibantah dan tidak disukai, kerana apa-apa yang diputuskan dan ditakdirkan oleh Allah itu adalah sesuatu yang muktamad mengikut kebijaksanaan Allah SWT, malah kalau dibantah, dan diusahakan untuk menghalang keputusan Allah, atau takdir-Nya, maka hal itu akan tetap berlaku, walau pun seluruh manusia dan jin membantah dan tidak menyukainya, kerana Allah lebih mengetahui rahsia kejadian alam dan makhluk-Nya ini, Allah lebih berkuasa, dan Allah Maha Adil.

Dalam perlawanan bola sepak Piala Dunia ini, hampir keseluruhan keputusan pengadil akan cuba dibantah oleh pemain atau pegawai pasukan yang dihukum, cuba menegakkan kebenarannya dan menyalahkan musuhnya, termasuk di dalam beberapa kes yang terang-terang merupakan kesalahan pasukannya, tetapi tetap dibantahnya.

Inilah tabiat manusia, kelemahan mereka, dan sifat subjektiviti mereka, semuanya semakin banyak merungut, membantah, memberontak, revolosi di sana, demonstrasi di sini, semua pihak  dianggapnya tidak benar, tidak adil, zalim dan sebagainya, kecuali dirinya sahaja yang adil, benar, saksama dan paling ideal...

Sebab itulah puasa mengajar kita untuk menjadi umat bijaksana, mengata orang di belakangnya, walau pun perkara itu benar, tetapi menjatuhkan air muka dan mengaibkannya, adalah mengumpat, dan sifat ini amat dilarang oleh Allah SWT. Apa lagi mengata orang, mengumpat orang, sedangkan apa-apa yang diperkatakan itu tidak benar, maka hal ini adalah fitnah, membawa dosa yang lebih besar.

Semoga puasa yang mendidik kita selama sebulan ini, akan dapat meninggalkan akhlak yang baik kepada umat Islam dalam membangunkan masyrakatnya yang kuat dan berpadu, bekerja keras dan berusaha secara bersepadu untuk menonjol dan memperbaiki nasib mereka di dunia ini, menjadi umat yang sejahtera dan bahagia di akhirat, dirahmati Allah dan diberikan ganjaran syurga in sya'Allah.

Semoga akan datang Ramadhan seterusnya yang dapat menyaksikan umat Islam yang kuat dalam semua aspek kehidupannya, sejahtera dalam berkeluarga dan bermasyarakat, aman di dalam diri, keluarga dan di dalam negaranya, hapuskan permusuhan, yang kadang kala membawa kepada pertumpahan darah, pembunuhan, pengebom berani mati, dan seribu satu macam mala petaka yang mencabar kesucian agama dan ketamudunan umah seperti yang berlaju di dalam bulan Ramadhan ini, dan  bulan-bulan Ramadhan yang lalu....


Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....