PUASA HARI KE DUA PULUH LAPAN 1435
PERPADUAN UMAT ISLAM...
Umat Islam diperintahkan oleh Allah SWT supaya hidup dalam jemaah, iaitu dalam perpaduan dan kesatuan. Perpaduan ini hendaklah ada dalam masa aman dan dalam masa perang. Atas dasar inilah Rasulullah SAW menggalakkan umat Islam berjemaah, dan semangat jemaah inilah yang di hayati di dalam sembahyang berjemaah, berkumpul di tanah suci Makkah ketika menunaikan haji, dan seterusnya dalam ibadat zakat serta sadaqah jariah, maka amalan ini juga sebenarnya menggalakkan umat Islam supaya bantu membantu, tolong menolong.
Puasa sendiri mengandungi semangat perpaduan dan kesatuan yang amat kuat sekali, kerana berkumpul dan berjemaah di dalam bulan puasa sering di rialisasikan, dalam sembahyang terawih, berbuka dan bersahur, berderma dan bersadaqah jariah, malah pada akhir Ramadhan diwajibkan zakat fitrah untuk membantu fakir miskin.
Dalam surah Ali Imran ayat 103, satu firman Allah yang amat masyhur menyebut "Brepegang teguhlah kamu semua dengan tali Allah (agama Allah) dan janganlah kamu berpecah belah"
Dalam surah A-Saf ayat 4, Allah berfirman "Sesungguhnya Allah suka orang-orang yang berperang untuk mempertahankan agama-Nya berada dalam satu barisan, seolah-olah mereka itu adalah sebuah bangunan yang kukuh"
Ertinya seluruh kaum Muslimin hendaklah berpadu dan bersatu sama ada ketika dalam keamanan, apa tah lagi dalam keadaan berperang untuk mempertahankan agama-Nya iaitu agama Allah.
Keadaan rakyat Palsetin pada hari ini nampaknya tidak mendapat pertolongan sesama umat Islam sendiri, maka dengan itu tidak ada satu barisan yang satu untuk umat Islam memerangi musuh dari Israel yang telah menceroboh negara Palestin, dan membunuh serta merosakkan negara Palestin yang tidak sepatutnya mereka lakukan.
Sesungguhnya Allah SWT tidak melarang orang Islam berperang kerana mempertahankan diri dari pencerobohan orang lain, dan mempertahankan agama, keturunan, harta benda, akal, dan maruah mereka.
Dalam surah Al-Haj ayat 39 Allah SWT berfirman "Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka telah dizalimi, dan sesungguhnya Allah amat berkuasa untuk menolong mereka (untuk mencapai kemenangan)"
Umat Islam tidak dibenarkan menceroboh, tetapi mereka seharusnya bertindak mempertahankan diri dan agama mereka sekiranya diceerobohi, seperti yang terang-terang dilakukan oleh pihak Israel pada masa kini..
Rasulullah SAW telah diserang dan disakiti ketika baginda menyeru kepada agama Allah semasa baginda berada di Makkah, lalu baginda berhijrah ke Madinah. Oleh kerana kaum kafir terus menerus menceroboh dan mengancam baginda dan umat Islam, maka baginda dan orang-orang Islam - yang telah puas bersabar - diizinkan oleh Allah menghunus senjata menentang percerobohan itu.
Semuanya tertera dengan jelas di dalam al-Quran, cuma umat Islam masih tidak tahu atau tidak mahu menterjemahkan ajaran Al-Quran ini dengan sebaik-baiknya pada masa kini dalam tindakan mereka, sehingga dalam menghadapi pencerobohan musuh pun kaum Muslimin, seperti rakyat Palestin, terpaksa bersendirian menghadapi segala mala petaka yang menimpa mereka.
Umat Islam sepatutnya haruslah mengkaji al-Quran dalam konteks ini, iaitu bilakah orang Islam seharusnya berperang, dan sejauh manakah konsep mempertahankan diri itu harus diaplikasikan, malah apakah etika dan peraturan berperang yang dibenarkan oleh agama kita, kerana kita selalu mendakwa kita memahami al-Quran, dan mengamalkan segala-segalanya yang di ajar oleh Quran, tetapi dalam amalannya kita masih jauh dari ajaran itu....
Inilah kelemahan besar umat Islam pada hari ini....
Comments
Post a Comment