PUASA HARI KE LIMA BELAS 1435





BILAKAH HARUS KITA BERTOLAK ANSUR...?

Ada perkara yang boleh kita bertolak ansur, dan ada benda yang tidak boleh kita bertolak ansur. Rasulullah SAW mengajar kita untuk bertolak ansur sesama manusia, walau pun berlainan agama, tentang hal-hal yang tidak menyentuh soal akidah, seperti tindakan Baginda yang bangun kerana menghormati mayat orang kafir yang melewatinya. 

Tetapi apa bila kaum musyrikin, mengikut sesetengah riwayat, mencuba untuk berkompromi dengan Baginda tentang ibadat kepada Tuhan, iaitu mereka menyembah Allah SWT untuk beberapa hari, dan Baginda menyembah Tuhan mereka selama beberapa hari yang lain secara bergilir-gilir, maka turunlah Firman Allah SWT, iaitu Surah Al-Kafirun, yang memerintahkan Baginda supaya menjawab kepada mereka bahawa Baginda tidak akan menyembah apa-apa yang mereka sembah, kerana "bagi kamu agama kamu, dan bagi ku agama ku" ertinya dalam menyembah Allah yang maha esa, tidak ada jalan pertengahan dan bertolak ansur, kerana hal itu merupakan asas akidah yang besar, tidak seharusnya Baginda menyerah kalah kepada gesaan kaum musyrikin itu.

Kerana itu kita merasa sedih dan terganggu dengan campur tangan yang agak melampaui batas sekarang ini di dalam masyarakat kita tentang asas-asas akidah dan keimanan umat Islam tentang isu-isu agama Islam yang merupakan isu ketuhanan yang tidak seharusnya dikompromikan.

Di dalam Al-Quran terdapat ayat-ayat yang dengan jelas menegaskan bahawa "Allah itu tidak berana dan tidak diperanakkan", "Sesungguhnya menjadi kafirlah orang-orang yang mengatakan Tuhan itu tiga" dan banyak ayat lain yang menafikan akidah sesat yang direka cipta oleh manusia dengan memalsukan kitab mereka dengan menegaskan bahawa Tuhan itu mempunyai konsep triniti.

Sungguh pun isu ini jelas, iaitu Allah adalah Tuhan Yang Maha Esa, dan hanya Allah sahajalah yang terkandung dalam ajaran Islam sebagai Tuhan Yang Maha Berkuasa, tetapi Kristian juga mencuba mendakwa bahawa Tuhan mereka juga adalah Allah, tanpa mengambil kira tentang konsep Allah yang Maha Esa dan tidak seharusnya disyirikkan dengan yang lain.

Hal ini sebenarnya dari segi akidahnya tidak seharusnya diteerima sebagai kebenaran. kerana apa bila orang mengaku bahawa Allah itu adalah esa, tidak sekutu dengan yang lain, tidak beranak dan tidak diperanakkan, maka orang itu telah memeluk agama Islam yang berkonsepkan Tuhan Yang Maha Esa, buka Tuhan dalam konsep trinity.

Seluruh umat Islam seharusnya tidak berkompromi dan tidak bertolak ansur dengan konflik yang mengelirukan ini, malah menyesatkan semua umat Islam, terutamanya generasi muda yang masih tidak dapat memikirkan isu yang diselewengkan ini.

Maka hal ini tidak sepatutnya di celah dan dilakukan tindakan campur tangan oleh orang-orang bukan Islam yang mensyirikkan Tuhan mereka, kerana Allah tidak bersekutu dengan sebarang zat dan apa-apa bentuk bersekutu.

Demikian juga terdapat kecenderungan untuk menggalakkan umat Islam menjadi murtad dan keluar dari Islam, dengan berbagai-bagai helah yang dilakukan, termasuk membina di atas dasar hak asasi memilih agama oleh sesiapa sahaja, termasuk penganut agama Islam.

Sepatutnya orang bukan Islam tidak seharusnya turut camputr tangan dalam isu orang Islam yang mahu keluar dari Islam, dengan memperjuangkan hak yang dikatakan sebagai hak asasi manusia untuk menukar agamanya.

Selagi terdapat undang-undang dan mahkamah yang akan memberikan keputusan ini, maka tidak ada sesiapa pun yang seharusnya turut masuk campur tangan dalam masyarakat Islam yang menghadapi kemelut ini.

Biarkanlah umat Islam menyelesaikan isu-isu akidah mereka, dan hal ini tidak ada kena mengena dengan orang luar Islam, malah hal ini adalah merupakan urusan dalaman umat Islam sendiri.

Inilah nampaknya masalah yang kita hadapi dalam masyarakat berbilang kaum dan agama sekarang ini, yang bagi kita amat menyentuh soal akidah dan iman umat Islam itu sendiri, dan berlaku di dalam masyarakat Islam juga.

Kita boleh menyalahkan orang lain dalam hal ini, tetapi umat Islam juga seharusnya menyalahkan diri mereka sendiri juga, kerana dalam menghadapi isu ini, umat Islam sendiri pun ada kalanya yang mengambil jalan sendiri dengan menyokong campur tangan dan percubaan masyarakat bukan Islam untuk menambahkan lagi kekecohan isu ini, seperti yang berlaku terhadap penggunaan kalimah Allah oleh Kristian...

Mungkinkah ketika kita bersatu dan berjemaah dalam melakukan ibadat dalam bulan puasa yang memasuku hari ke-15 ini, kita juga dapat bersatu dan berpendirian yang sama dalam isu-isu akidah ini? Atau kita akan berpecah belah dalam menghadapi isu ini berdasarkan hal-hal yang tertentu, sehingga perpecahan kita itu akan diambil kesempatan oleh orang lain untuk memperjuangkan hak mereka sendiri dalam isu akidah dan kepercayaan kita umat Islam ini?

Semoga Allah melindungi kita semua dari unsur kekufuran dan kesesatan ini...disatukan tali silaturrahim dan berpadu dalam jemaah seperti yang diajarkan kepada kita oleh ibadat puasa yang sedang kita tunaikan...

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....