PUASA HARI KE SEBELAS 1435



A VERY LONG, LONG WAY TO BRUNEI...

Saya sepatutnya telah bertolak ke Bandar Sri Begawan, Brunei Darussalam, malam tadi (Selasa 8 Julai) jam 9.30. Tetapi tiba waktunya, saya diberitahu oleh staf penerbangan negara tersebut bahawa hari semalam saja (Selasa 8 Julai) telah ada pembatalan pesawat ke sana. Maka penerbangan saya juga telah dibatalkan, dan jangkanya esok (Rabu 9 Julai) penerbangan akan bertolak jam 5.30 pagi, dan malam ini penumpang yang terkandas akan di bawa ke hotel.

Petangnya (Selasa) saya berbuka puasa di KLIA. Datang agak awal kerana takut kesesakan lalu lintas. Setelah selesai sembahyang Maghrib dan jamak Isyak sekali selepas buka puasa itulah saya cuba membuat daftar masuk di kaunter penerbangan Brunei.

Masa itulah diberitahu bahawa lapangan terbang Bandar Seri Begawan masih ditutup kerana insiden yang berlaku di sana ketika pesawat Air Asia tergelincir, dan menghalang jalan pesawat. Jangkanya akan dibuka semula jam 6 petang, kemudian jam 8, tetapi akhirnya tidak dibuka lagi, kecuali hari ini (Rabu).

Masa saya ke Kyoto tempoh hari, sekumpulan kawan saya dari UKM juga tergendala, malah terpaksa pulang semula ke Kuala Lumpur dalam penerngan mereka ke Osaka, kerana pesawat Air Asia yang mereka tumpangi mengalami kerosakan teknikal, dan terpaksa kembali ke Kuala Lumpur. Esoknya baru bertolak semula ke Osaka dalam perjalanan ke Kyoto.

Inilah yang dimaksudkan oleh firman Allah SWT bahawa "tidak seorang pun yang tahu apakah yang akan dilakukannya esok" satu ayat di akhir surah Luqman.

Saya pun tidak tahu apa yang berlaku semalam, iaitu pembatalan penerbangan, buka puasa di lapangan terbang, kemudian terpaksa bermalam semula di hotel kampung saya, iaitu di Putrajaya, kerana hotel lapangan terbang KL telah penuh.

Pagi ini saya di kejutkan jam 2.30, bawa turun barang ke lobi hotel, kerana jam 3 bas akan datang membawa kami ke lapangan terbang KL bagi menaiki pesawat yang akan berlepas ke Brunei jam 5.30.

Kini sudah jam 5.40 pagi, telah imsak, setelah menjamah makanan yang sempat sebagai sahur, namun tidak ada sebarang pengesahan tentang penerbangan tersebut.

Jadi saya dan penumpang lain, terpaksa menunggu, dan menunggu, bilakah akan dijemput menaiki pesawat.

Inilah pengalaman peribadi pada hari kesebelas berpuasa ini, dan saya merasakan benarlah firman Allah tersebut, kerana saya pun tidak tahu apakah penerbangan ini akan berlaku atau tidak, dan sementara itu nampaknya saya mengalami perjalanan yang amat jauh, jauh sekali dari Kuala Lumpur ke Brunei Darussalam, dan insya' Allah saya akan terus menunggu dan menunggu apakah yang telah ditakdirkan oleh Allah SWT....

Selamat berpuasa...

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....