PUASA HARI KE EMPAT BELAS 1435
LAGI TENTANG IBU KOTA ISLAM....
Satu peristiwa besar yang menimpa kota-kota tamadun Islam seperti yang dibicarakan sedikit di atas, ialah bahawa kota-kota negara Arab itu kini telah mengalami perubahan yang mendadak, sehingga negara yang sepatutnya dinamakan negara itu, tidak lagi muncul sebagai negara yang sebenarnya.
Beberapa minggu lalu, sebuah kumpulan jihad, yang menamakan diri mereka ISIS, telah mengisytiharkan penubuhan negara besar Islam yang mengandungi Iraq, Syria, yang akhirnya melampaui kawasan-kawasan di sekelilingnya, termasuk Israel-Palestin, Lebanon, Jordan dan sebahagian Turki, tanpa mengenal sempadan lagi dengan tertubuhnya negara Islam (Islamic State) di bawah pemerintahan Khalifah.
Negara-negara Arab yang telah sedia dilanda kerisis politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan seribu satu macam gejala kemanusiaan dan peradaban itu akan terus menerus dihimpit kerisis baru yang semakin meruncing.
Hari ini ketika sunni dan syi'e berlumba-lumba menghapuskan satu dengan yang lain, jutaan pelarian perang lari sehelai sepinggang meninggalkan tanah tumpah darah mereka, iaitu ketika anak-anak sekolah dan pelajar universiti meninggalkan bidang pendidikan dan persekolahan mereka demi menyelamatkan nyawa masing-masing, di celah-celah ribuan orang sakit dan yang telah meninggal tanpa rawatan dan pertolongan perubatan, malah keluarga berpecah belah, masyarakat berkecai dan berpecah tidak menentu, nampaknya tidak ada sebarang penyelamat yang akan menyelamatkan keadaan.
Sekurang-kurangnya satu generasi umat dari daerah bergolak ini akan pupus dari dunia pendidikan dan pelajaran, satu generasi akan hapus dari masyarakat peradaban yang pernah diwarisi dari tamadun Islam, malah segala mercu tanda sejarah kegemilangan dunia Islam, kota Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul, akan hanya menjadi binaan dan bangunan yang hancur dan runtuh.
Namun bagi umat Islam yang masih selamat dan masih mampu berdiri dengan sendirinya, mereka tentulah masih dapat menghayati nilai-nilai peradaban dan tamadun itu untuk mendoakan masa hadapan yang labih baik bagi dunia Islam, meskipun mereka akan sentiasa bertanya-tanya bilakah masa gemilang itu akan menjelang kembali? Bilakah nilai ketamadunan yang ditinggalkan oleh para Khalifah dan pimpinan Islam dulu itu akan muncul semula?
Dalam sejarah gemilang kepimpinan Islam di bumi para "anbiya'" itu nilai tamadun berkembang dengan subur, masyarakat pluralisme hidup dengan subur dan aman damai, perdagangan dan perniagaan berjalan dengan lancar, kedamaian dan keamanan amat semarak di bawah pimpinan Islam.
Inilah juga sebenarnya yang telah kita cuba meneruskan di bumi kita, dan kita agak berjaya merempuhnya, meskipun dalam badai dan ombak yang agak kasar.
Namun yang tidak dapat kita lalaikan, bahawa bumi kita juga sedang dilanda badai dan himpitan yang mengancam nilai-nilai tamadun rohani dan jasmani, kehidupan bersama secara aman damai, keharmonian kaum dan agama, malah kemerdekaan negara dan bangsa, hendak diheret ke dalam kerisis saperti yang melanda kebanyakan negara Islam dunia pada masa kini, bukan hanya oleh anasir-anasir luaran, malah oleh anasir-anasir dalaman juga.....
Semoga Allah SWT melindungi kita berkat doa, usaha dan pelan strategi yang kemas dari kita dalam menghadapi musim tengkojoh itu...Berkat juga amal ibadat dan disiplin kita dalam menunaikan ibadat puasa pada bulan yang mulia ini, yang memasuki hari yang ke empat belas pada hari ini...
Satu rukun yang amat penting sekali dalam konteks ini, umat Islam haruslah menyedari akan disiplin hati budi dan akal fikiran sebagai umat Islam, terutamanya dalam mencipta perpaduan fizikal dan spiritual, perjuangan dan perancangan, dalam menghadapi musuh bersama, ibaratnya seperti segerombolan serigala, yang meskipun bergigitan sesama sendiri di dalam kumpulan meereka, tetapi apa bila mereka menghadapi musuh bersama seperti singa atau harimau yang garang dan merbahaya, maka mereka akan bersatu menyerang musuh mereka itu.....Inilah sepatutnya yang menjadi dasar perjuangan umat Islam di mana-mana saja mereka berada....
Comments
Post a Comment