PUASA HARI KE DUA PULUH 1435




RAHSIA DALAM CIPTAAN ALLAH

Kita sering melihat keindahan ciptaan Allah SWT di dalam dunia kita ini. Indahnya alam di kala mata hari terbenam, dan di kala ombak memukul pantai, atau gunung ganang di liputi awan, atau ribuan bunga yang menghiasi taman, malah indahnya melihat jari jemari anak-anak kecil yang montok, senyum ketawanya yang riang, malah seluruh dunia ini kita rasakan indahnya ciptaan Allah yang dapat kita perhatikan ketika objek yang kita perhati dan lihat itu indah, apa lagi ketika perasaan dan hati sanubari kita juga berada dalam kegembiraan ketika itu.

Namun pada mala petaka yang berlaku, seperti kemalangan yang menimpa MH17, atau sebelum ini MH370, kita mungkin tidak dapat melihat apakah keindahannya, kerana mala petaka itu hanya merangsangkan dukacita dan hiba yang bersangatan, memuramkam wajah dan perasaan setiap orang, terutamanya yang terlibat dengan kemalangan itu.

Tetapi satu hal yang harus kita sedari bahawa, keindahan itu tidaklah dalam pandangan indah yang meriangkan, namun keindahan itu adalah pada rahsia kejadian Allah yang telah memberikan pengajaran kepada kita bahawa segala sesuatu yang berlaku ini adalah bebentuk kebesaran Maha Pencipta yang menciptakan segala-segalanya.

Keindahan perasaan yang dapat kita saksikan dalam kejadian mala petaka, ialah keindahan perasaan ketuhanan, kekuasaan Allah, yang memberikan inspirasi kepada kita bahawa setiap perkara yang berlaku itu adalah merupakan bukti kekuasaan Allah.

Kita dapat merasa dan memikirkan bagaimanakah dunia manusia pada zaman terakhir ini mengalami kepincangan dan kemuflisan jiwa dan rohani, moral dan akhlak, lalu berlakulah segala konflik yang membawa kepada keganasan, pembunuhan dan peperangan.

Kalau tidak kerana konflik di Ukraine, pada adatnya, tidak ada sebab MH17 akan ditembak dan musnah menjadi arang. Malah sekiranya dari awal lagi pesawat terbang tidak melintasi kawasan yang bergelora dengan api itu, pada adatnya pesawat itu tidak akan ditembak. 

Tetapi ini pun, tidak semestinya menjadi punca kemalangan itu, kerana setiap hari terdapat banyak pesawat yang melewati kawasan itu, namun tidak pernah terdengar pesawat yang menjadi sasaran roket atau peluru berpandu, kenapa pula tiba-tiba MH17 yang menjadi mangsanya?

Maka di sinilah sebenarnya terdapat sesuatu yang memberikan pencerahan kepada kita, iaitu inilah kuasa Yang Maha Asa dalam kejadian tesebut yang tentunya mengandungi rahsia yang hanya diketahui Allah, tetapi tidak dapat kita mengetahui rahsianya.

Satu hikmah yang terpancar dari kejadian itu, ialah akan terdapat banyak pesawat yang akan mengelakkan dari laluan tersebut untuk terselamat dari mala petaka tembakan itu. Namun mungkin pada masa yang tertentu, akan terdapat pesawat yang mungkin menimpa kemalangan kerana sebab-sebab yang lain, di tempat yang lain......

Akhirnya "takdir" Tuhan akan mengajar manusia untuk mengambil pelajaran dari segala-galanya yang berlaku di alam dunia ini untuk mengelakkan kemalangan dan mala petaka, malah dalam segala usaha itu, maka usaha yang terbaik lagi haruslah dilakukan untuk mencari keamanan dan kesejahteraan dalaman dan luaran manusia.

Hasilnya, apa-apa saja kemalangan dan mala petaka yang berlaku, manusia haruslah melihat kepada rahsianya yang tersembunyi, dan manusia haruslah berusaha dengan lebih kuat lagi, mempelajari dan mengambil iktibar dari takdir Allah, malah matlamat terakhirnya ialah mencipta masyarakat dunia yang harmoni dan aman damai, kerana selagi manusia berkonflik dan bekerisis, maka semakin banyak lagi kesengsaraan dan kehampaan yang akan mereka rasai....

Satu kesimpulan yang perlu di ambil, bahawa manusia seharusnya sentiasa menyedari dan menyelami rahsia kejadian Allah, perubahan  yang berlaku, dan rahsia kejadian manusia yang mempunyai berbagai-bagai perasaan ini, kerana seluruh alam adalah berada di bawah kekuasaan Allah SWT, dan manusia hanya dapat berusaha serta berikhtiar untuk kesejahteraannya sendiri berpandukan ajaran Allah itu juga....  

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....