PUASA HARI KE DUA PULUH DUA 1435


SERANGAN KE ATAS GAZZAH DAN MALAYSIA


Serangan ke atas Gazzah dan Malaysia pada saat ini, menjadi berita dunia yang amat panas di perkatakan, terutamanya oleh media antarabangsa. Serangan ke atas Gazzah, tanah kepunyaan penduduk Palestin, berbeza dari seranga ke atas Malaysia.

Israel memulakan serangan ke atas Gazzah, dan selama ini pun, telah kelihatan tanda-tandanya bahawa negeri Palestin ini akan di serang. Oleh itu Israel mencari justifikasinya, lalu mereka terus memulakan serangan secara besar-besaran ke atas wilayah ini, di mulai dengan serangan udara, kemudian diikuti dengan serangan darat, membunuh ratusan mangsa yang terdiri dari orang awam, kanak-kanak dan wanita serta warga emas.

Serangan ke atas Malaysia ialah dalam bentuk bedilan peluru berpandu yang ditujukan ke udara Ukraine ketika pesawat Malaysia terbang di ruang udara negara tersebut, membunuh semua penumpang dan anak kapal MH 17 itu.

Mangsa serangan kejam di wilayah Gazzah, terpaksa dihadapi oleh orang awam dan pihak berkuasa di wilayah tersebut dengan nyawa mereka, tidak ada tempat untuk melarikan diri, kerana Gazzah adalah meerupakan semenanjung yang menjadi penjara besar kepada rakyat Palestin di sana, dan Israel menguasai ruang udara dan lautannya. Rakyat Gazzah hanya dapat bergerak di daratan sahaja.

Oleh itu apabila berlaku serangan udara, dan kemudiannya serangan darat dengan segala jenis senjata berat yang dimiliki oleh Israel, maka rakyat Arab tidak ada tempat untuk keluar dari Gazzah melarikan diri ke negara lain. Mereka terperangkap di negara sendiri, dan boleh berlari di sekeliling "penjara" mereka yang besar itu sahaja. Akibatnya angka kemalangan dan kematian meningkat dengan cepat, tambahan pula hospital tidak kecukupan tempat untuk memuat semua mangsa perang ini, ubat-ubatan juga kurang, tenaga doktor kecil, dan semuanya ini menambahkan lagi derita mangsa serangan ini.

Serangan ke atas pesawat Malaysia, memakan semua sekali korban, iaitu anak kapal dan penumpang pesawat tersebut. Malah lokasi terhempasnya pesawat ini juga berada di tengah-tengah daerah yang panas dengan api peperangan, perebutan kuasa oleh para pemberontak dan peperangan ideologi di antara Rusia dan Barat.

Secara sengaja atau tidak sengaja pesawat MH 17, ini di tembak jatuh, telah menjadi bahan yang telah meluaskan lagi pertentangan dan perebutan pengaruh di antara kuasa Barat dan Rusia tentang kedudukan Ukraine pada pandangan kedua belah pihak yang bertikai.

Namun apa-apa sahaja yang berlaku dalam perdebatan antarabangsa tentang peperangan di Gazzah dan peristiwa yang menimpa pesawat Malaysia, maka yang dapat diperhatikan oleh orang awam bahawa peristiwa di Gazzah memperlihatkan kemelut politik yang cuba mangaut keuntungan ini, iaitu pihak Barat, terutamanya Amerika Syarikat, akan meletakkan tekanan yang lebih hebat dan berat ke atas Rusia dalam tragedi pesawat MH17, dan Amerika Syarikat juga akan memihak kepada Israel dalam kerisis Gazzah, walau pun kekejaman dan keganasan telah dilakukan oleh Israel.

Bagi orang yang boleh berfikir, maka tindakan yang dilakukan ke atas Gazzah dan Malaysia adalah merupakan mala petaka yang berlaku di dunia Islam. Gazzah akan bertambah parah, derita dan akan terus di jajah sehingga ke satu tempoh yang amat panjang, dan tragedi pesawat Malaysia agak mencukupi untuk menaraik perhatian dunia tentang negara Islam yang kecil ini dalam percaturan ideologi politiknya juga, kerana negara kecil ini masih setabil, aman damai, dan merupakan benteng yang agak kukuh, walau pun kecil, mempertahankan cara hidup yang diiktiraf dunia sebagai satu negara Islam contoh.

Harap-harapnya, peristiwa ini, tidaklah dirancangkan oleh pihak yang ingin mengkucar kacirkan dunia Islam, yang selama ini, telah muncul banyak sekali negara Islam yang  mengalami peristiwa berdarah dan mala petaka dalam saat kebangkitan negara lain di luar dunia Islam, maka dalam konteks ini Malaysia sedang dalam kebangkitan dalam usaha menjadi negara maju menjelang tahun 2020.

Sambil-sambil memanfaatkan pengajaran dan hikmah puasa Ramadhan dengan segala keberkatannya, maka fikir-fikirkanlah tentang hal ini, dan mala petaka ini yang mungkin akan diikuti oleh rentetan peristiwa dan mala petaka   lain lagi dalam mewujudkan ketidak setabilan dunia Islam seluruhnya.......yang membawa kepada ketidak setabilan ekonomi, sosial, pendidikan, politik dan lainnya lagi.........

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....