PUASA HARI KE SEPULUH 1435





TERLALU BANYAK CAMPUR TANGAN...


Terdapat banyak campur tangan politik dalam media massa yang tertentu akhir-akhir ini dalam beberapa keputusan badan bebas yang membuat keputusan seperti mahkamah, universiti, jabatan agama dan sebagainya.

Nampaknya segala keputusan yang dibuat oleh agensi-agensi bebas, yang tidak menyenangkan beberapa pihak tertentu, terutamanya yang melibatkan "apa-apa yang di sifatkan sebagai keputusan politik" sering dikeritik dan dikecam, yang memberikan persepsi bahawa semua keputusan itu adalah keputusan yang "berbau politik" lalu Menterinya, atau ketua dan pengarahnya, malah hakim sendiri yang membuat keputusan mahkamah, akan dikecam, kadang-kadang secara melulu, malah terdapat kalangan ketua politik tertentu akan mengajak rakan-rakan kaumnya meletak jawatan semuanya sebagai membantah Menteri yang tertentu.

Hal ini agak mengganggu perasaan dan suasana kebebasan dan sistem demokrasi yang seharusnya dibiarkan mengambil jalannya yang tertentu, kerana setiap negara dan pemerintah, sepatutnya diberikan peluang menjelaskan keputusan yang dilakukan oleh agensinya itu secara tenang dan terlepas dari sentimen politik melulu, yang kelihatan agak tidak sihat.

Dunia akademik, umpamanya, dari awalnya lagi tidak seharusnya menjadi dunia politik partisan dan taksub atau fanatik, sama ada perkauman, agama, sentimen individu dan kepentingan peribadi, dalam apa-apa aspek sahaja.

Akademik merupakan satu dunia bebas yang tidak seharusnya dipolitikkan. Keputusan sesebuah IPT untuk menentukan kedudukan para pegawainya, seharusnya pihak IPT itulah dan orang yang terlibat memberikan penjelasan dan berpolimik sesama sendiri secara sihat dalam suasana kemesraan dan keikhlasan..

Memang dalam beberapa keadaan, pihak pimpinan politik, sama ada pemerintah dan pembangkang, dapat memberikan komennya, tetapi tidaklah dalam komen yang berbau emosi dan sentimen yang mengeruhkan suasana keilmuan yang sebenarnya, malah bebas dan berkecuali dari politik partisan dan fanatik melampau.

Harap semua pihak dapat menolong negara dan bangsa kita dalam hal ini, dan biarlah orang luar yang tidak sangat terlibat dalam konflik, berpuasa dengan aman dan damai pada hari ke sepuluh hari ini.

Malah dalam hari dan bulan biasa sepanjang hidup kita di dalam negara yang bebas dari sentimen perkauman, keagamaan dan sebagainya ini, akan dapat mempelajari hikmat puasa yang mengajar kita bermesra, berhikmah, bertolak ansur dan menghubungkan silaturrahim dengan sebaik-baiknya sepanjang hidup ini.

Cukuplah segala keganasan dan kekacauan yang berlaku di dalam negara-negara dunia lainnya, termasuk di dalam dunia Islam sendiri, yang tidak lagi mengira masa dan ketika, di bulan puasa atau di luar bulan puasa, maka negara kita ini pun nampaknya mulai mengalami hal yang sama, tidak lagi ternampak suasana hening dan tenang di dalam kita berpuasa pada masa kini.

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....