PUASA HARI KE TIGA BELAS 1435
KOTA KAHERAH, DAMSYIK DAN BAGHDAD......
Seribu tahun dulu kota Kaherah di Mesir, Damsyik di Syria dan Baghdad di Iraq merupakan pusat tamadun dan inovatif Islam. Para Khalifah dan pemerintah Islam dari bandar-bandar tamadun itu merupakan icon dan model pemacu pembangunan fizikal dan spiritual umat Islam, maju dalam ilmu dan hikmah, akhlak dan perilaku yang amat ideal.
Hari ini kota-kota inilah juga yang lahir sebagai runtuhan bangunan fizikal dan spiritual, jasmani dan rohani.
Namun sebagai umat yang tidak seharusnya berputus asa dan menyerah kalah, kita umat Islam haruslah berpandangan optimistik untuk melihat kebangkitan semula tamadun Islam dan pengaruhnya kepada dunia, seperti yang terbukti seribu tahun lalu, bahawa kota-kota itulah yang mendahului mencipta peradaban dan tamadun dunia, ketika Barat masih lagi berada di dalam era kegelapan.
Umat Islam, haruslah menyedari bahawa di atas keruntuhan tamadun akhlak dan peradaban inilah mereka seharusnya dapat membangunkan semula kemajuan dan peradaban mereka seterusnya.
Kemajuan ini mestilah datangnya dari dalam diri umat Islam itu sendiri, kerana faktor luar sebenarnya sering mencari jalan untuk meruntuhkan kemajuan umat Islam.
Maka dalam keadaan ini, satu umat Islam yang berada jauh dari gelanggang pergolakan dunia Islam itu haruslah bangun memberikan sumbangan kepada usaha kemajuan dan kebangkitan semula peradaban umat Islam ini, iaitu umat Melayu di daerah kita ini.
Umat Melayu telah membangunkan tamadun ilmu dan hikmah Islam sejak berkurun-kurun, iaitu semenjak anak-anak bangsa ini menjejaki kaki di Al-Azhar Universiti, malah mengambil tempat di tengah-tengah Masjidul Haram di Makkah, menjadi ketua "halaqah" memberikan pengajaran kepada jemaah Melayu.
Umat ini merupakan kekuatan kemajuan Islam dan ajarannya sehingga ke masa ini.
Umat ini juga merupakan umat yang tanpa takut bangun menentang pihak Zionis di Palestin, termasuk ketika rakyat Arab menghadapi ancaman Yahudi saat ini, maka umat Islam dari daerah kita yang menggadai nyawa pergi ke bandar bergolak dan yang sedang marak dengan api permusuhan itu, semata-mata untuk membantu dan menolong, sedangkan terdapat sesetengah umat Islam jiran Palestin sendiri yang sedang lalai.
Inilah harapan kita dalam bulan suci dan berkat ini. Semoga Islam akan dapat bangun semula dengan gabungan seluruh umat di dunia ini, dan umat Melayu merupakan penggerak utama pembangunan ini insya' Allah.
Comments
Post a Comment