PUASA HARI KE DUA PULUH EMPAT 1435
RAMADAN : SELF CONTROL, PATIENCE AND GOOD BEHAVIOUR
Ramadan telah tiba ke saat-saat pengakhirannya. Tidak mengapa sekiranya setiap tahun kita mengulangi tentang kelebihan dan pengajaran yang dapat diambil daripada ibadat puasa sebulan itu, kerana kaedah mengulang-ulang adalah merupakan kaedah Al-Qurna, iaitu banyak menyebut tentang sesuatu peristiwa, pengajaran, kisah para Nabi dan Rasul dan lain-lain mesejnya di sana sini dari awal halaman Al-Quran hingga akhirnya, agar dengan kaedah itu maka Al-Quran akan dapat menjadi kitab suci kalimah Allah secara yang lebih efektif.
Demikian juga dengan ibadat puasa pada tahun-tahun yang lalu, dan tahun ini, juga pada tahun-tahun yang mendatang, kita sering mengulang-ulang menjelaskan tentang pengajaran puasa, dengan harapan bahawa Ramadan akan dapat dilihat dan dihayati sebagai bulan untuk mengawal diri, sabar dan orang yang berpuasa akan keluar dari Ramadan dengan perilaku yang baik.
Dalam berpuasa kita meletakkan peraturan dan disiplin yang tertentu untuk mengawal diri kita, walau pun bagi sesetengah orang hanya mengawal diri dari makan minum sahaja, tetapi pada dasarnya dia mengetahui bagaimanakah hendak mengawal dirinya dengan meletakkan segala kriteria disiplin itu di dalam hati dan pemikirannya, kemudian menterjemahkannya di dalam segala tindakan dan perbuatannya.
Sabar juga adalah satu unsur penting dalam proses mengawal diri dan mendisiplinkan segala tindakan seseorang. Sabar melatih seseorang menjadi tenang, berfikiran positif, melihat yang terbaik, berbeza dari pandangan umum tentang sesuatu yang negatif dan difikirkan sebagai jahat, sebaliknya dia lebih menggunakan rasional dan akal ketika timbul sesuatu yang mencabar kesabarannya.
Perilaku yang baik ialah ketika seseorang mampu menguasai perangai, tutur kata, sikap, dan mempraktikkan nilai-nilai moralnya yang baik serta universal.
Hasil dari beberapa kelebihan puasa dan pengajarannya inilah yang dapat membentukl peribadi seorang Muslim, iaitu menjadi orang yang bertaqwa dan sentiasa sedar akan kewujudan Allah dalam diri seorang yang bersifat dengan sifat ihsan dalam konteks ibadat dan mengendalikan diri dalam apa-apa keadaan sekalipun: "Sembahlah Tuhan mu seolah-olah kamu melihat-Nya, dan jika kamu tidak melihat-Nya, maka Dia melihat kamu".
Inilah ciri-ciri Taqwa yang diharapkan akan dapat diambil manfaatnya oleh orang yang berpuasa, seperti yang di firmankan oleh Allah SWT:
Wahai orang-orang yang beriman, di fardhukan ke atas kamu berpuasa, seperti yang telah di fardhukan ke atas orang-orang yang sebelum dari kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa"
Comments
Post a Comment